Masalah struktur sukarkan masyarakat awam perangi rasuah


Asila Jalil

Cynthia Gabriel ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di C4 Centre Petaling Jaya, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Julai, 2017

WALAUPUN terdapat undang-undang untuk melindungi pemberi maklumat, namun sukar untuk masyarakat memerangi rasuah kerana beberapa masalah struktur, kata satu kumpulan berhubung kajian semula pelaksanaan standard PBB memerangi rasuah.

Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4), Cynthia Gabriel berkata, persekitaran keseluruhannya “sangat tidak menyenangkan” dengan pemberi maklumat diserang dan aduan diabaikan.

Punca utama masalah struktur itu menurut C4, adalah kurangnya kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan tugas mereka.

“Secara umumnya, kita mungkin ada struktur itu, tetapi adalah kita mempunyai keupayaan untuk membanteras rasuah sengcara efektif dengan penglibatan masyarakat? Adakah kita di landasan yang betul di mana SPRM bebas untuk mengambil tindakan?” Kata ahli Exco Transparency International-Malaysia (TI-M) Chew Phye Keat pada sidang media hari ini.

Kumpulan itu turut menekankan kurangnya perlindungan kepada pemberi maklumat selepas Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membatalkan individu yang melaporkan dakwaan rasuah kepada badan bukan kerajaan, media dan bukan agensi penguatkuasaan undang-undang.

Ia menjadi penghalang kepada masyarakat untuk turut sama terlibat dalam membanteras rasuah, kata Gabriel.

Chew berkata, kerajaan perlu mengambil langkah yang betul bagi memastikan semua badan anti rasuah boleh diakses orang awam, dan ini menjadikan orang awam berasa selamat untuk salurkan maklumat berhubung salah laku rasuah.

Ia termaktub dalam Artikel 13 Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC), tambahnya. Artikel itu memerlukan kerajaan memastikan masyarakat boleh melaporkan sebarang aktiviti salah laku rasuah.

Masalah lain yang menyebabkan sukar masyarakat ambil bahagian banteras rasuah adalah kurangnya Akta Kebebasan Maklumat di peringkat kerajaan persekutuan. Sebaliknya Malaysia ada Akta Rahsia Rasmi 1972 yang menjadikan semua dokumen kerajaan sulit.

Satu lagi masalah ialah kurangnya kewajipan pengisytiharan harta oleh pegawai kanan kerajaan dan ahli parlimen, menjadikan sukar untuk rakyat menilai tahap korupsi politik.

SPRM menjemput C4, TI-M dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) untuk mewakili masyarakat dalam proses kajian pelaksanaan Perkara 13 UNCAC di Malaysia yang ditandatangani negara pada tahun 2004 dan disahkan pada tahun 2008.

Ketua Pegawai Operasi IDEAS, Tricia Yeoh menekankan pentingnya SPRM untuk meneruskan kerjasama dengan masyarakat .

“Ia sangat positif dan kami gembira mereka menjemput kami untuk memberikan maklum balas tetapi kami juga berharap penyertaan itu menjadi perkongsian jangka panjang,” katanya. – 6 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen