Komisen Uber, Grab tinggi, pemandu rasa tak adil


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong menjelaskan mengapa pindaan yang dicadangkan Putrajaya terhadap akta kawal selia industri e-hailing tidak sesuai dengan akta itu di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini. - Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Julai 2017.

Komisen terlalu tinggi yang diambil syarikat perkhidmatan aplikasi pengangkutan (e-hailing) bagi setiap perjalanan adalah masalah utama dihadapi pemandu.

Satu kaji selidik berasaskan web ke atas pemandu e-hailing oleh pasukan penyelidik Parlimen DAP mendapati 75% daripada 297 pemandu merasakan komisen yang dikenakan Uber dan Grab adalah tidak adil, dan lebih daripada 60% mahu kerajaan mengawal kadar komisen dibenarkan yang dikenakan syarikat e-hailing.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, akta yang dicadangkan kerajaan untuk dibentangkan di sidang Dewan Rakyat akan datang bagi meminda akta mengawal selia industri itu yang tidak selaras dengan hubungan antara pemandu dan syarikat e-hailing.

Akta itu juga tidak menyediakan ruang bagi pemandu menyampaikan aduan mereka kerana terdapat kes di mana mereka tidak dilayan dengan adil, katanya.

“Sebagai contoh, tambang terlalu rendah sehinggakan walaupun harga petrol naik sejak enam bulan lalu, tambang untuk kereta Grab dan Uber sebenarnya jatuh setiap kilometer.

“Kedua (ada) isu kadar komisen yang sangat tinggi yang dikenakan Uber dan Grab,” kata Ong sambil menambah Uber dan Grab masing-masing dikenakan caj 25% dan 20% untuk setiap tambang berbayar.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong mendesak Putrajaya untuk mendengar rayuan pemandu e-hailing sebelum membentangkan cadangan pindaan kepada dua undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan e-hailing dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Walaupun pindaan yang dicadangkan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 adalah satu langkah ke arah tujuan itu, Ong berkata akta itu hanya tertumpu kepada pelesenan.

“Kerajaan harus mainkan peranan supaya akta itu tidak hanya berurusan dengan syarikat tetapi ia perlu mengawal dan melindungi kepentingan pemandu dan penumpang.

“Kerajaan perlu merancang dan berfikir untuk jangka panjang. Akta itu tidak harus mewujudkan dua monopoli pasaran untuk Grab dan Uber, seperti yang berlaku pada masa ini,” kata Liew dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP.

Beliau berkata, rang undang-undang itu mestilah menyediakan satu ruang untuk semua orang di dalam industri ini, termasuk pemandu teksi.

“Apabila timbul konflik antara syarikat dan pemandu serta penumpang, kerajaan memainkan peranan  dalam bentuk tribunal atau arbiter secara umum.”

Antara lain, kerajaan harus mempertimbangkan penubuhan sebuah tribunal untuk mendengar rayuan pemandu yang mungkin dilarang atau digantung secara tidak adil; mengelakkan monopoli atau oligopoli sektor e-hailing; dan mengawal selia kadar komisen yang dicaj oleh syarikat e-hailing kepada pemandu.

Kaji selidik DAP menganggarkan purata gaji bulanan untuk pemandu sepenuh masa ialah sekitar RM3,200.

“Walaupun ini mungkin kelihatan seperti jumlah pendapatan yang baik, ia tidak mengambil kira kos penyelenggaraan kenderaan, yang boleh melebihi purata RM1,000 sebulan,” kata Ong.

Beliau berkata, matlamat akhir kerajaan seharusnya menjadi medium di mana pemandu teksi serta pemandu e-hailing diberi pampasan dengan betul, serta “syarikat teksi dan syarikat e-hailing tidak boleh menyalahgunakan kedudukan oligopolistik / monopolistik mereka untuk menganiaya pemandu dan memberi penumpang pengalaman perkhidmatan yang buruk”, kata Ong.

Kaji selidik “pemandu e-hailing yang bekerja sendiri” juga mendapati 40% pemandu Uber dan Grab memandu sepenuh masa dan 53% separuh masa; 64% mempunyai sekurang-kurangnya diploma - menunjukkan e-hailing sebagai bentuk pekerjaan yang berdaya maju; dan 34% pemandu e-hailing yang ditinjau adalah di luar Lembah Klang. - 6 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen