KETUA Polis Negara Khalid Abu Bakar mempertahankan pegawai bawahannya yang didakwa mempunyai hubungan dengan kegiatan jenayah sebagaimana dakwaan laman sesawang pemberi maklumat Sarawak Report.
Laman sesawang berpangkalan di United Kingdom itu mendedahkan rekod telefon antara pegawai kanan polis dan suspek yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Melaka dalam siasatan ke atas membabitkan pemberian perlindungan kepada kegiatan haram.
Pegawai kanan itu kini berada di jabatan pencegahan maksiat dan perjudian haram ibu pejabat polis persekutuan. Dia dan suspek saling menghubungi sebanyak 36 kali dalam tempoh dua bulan.
Khalid sebelum ini enggan memberi respons terhadap dakwaan Sarawak Report apabila ia mula diterbitkan.
Katanya, laman sesawang tersebut berniat jahat dan cuba mencetuskan kecurigaan terhadap polis.
Hari ini, beliau memberikan contoh pelbagai jenis panggilan yang diterimanya setiap hari.
“Sebagai contoh, setiap pagi saya mendapat beratus-ratus panggilan dan mesej daripada ramai orang hanya untuk mengucapkan selamat pagi dan bertanya khabar saya. Kongsi kata-kata saya ini, kongsi. Adalah ini sesuatu yang mencurigakan?” kata Khalid.
Mengenai siasatan SPRM ke atas kes wang perlindungan haram di Melaka yang menyaksikan penangkapan pegawai kanan polis di negeri ini, Khalid berkata beliau sudah bersedia untuk memberikan kenyataannya kepada badan anti rasuah jika diperlukan.
Beliau sebelum ini mengakui mengenali suspek bernama “Gopi” dan orang itu juga dikenali ahli keluarganya.
Ketua SPRM Dzulkifli Ahmad berkata bulan lalu pasukan penyiasat akan memanggil Khalid jika perlu.
Pada pertengahan Mei, SPRM menangkap beberapa individu, termasuk ketua polis daerah Melaka Tengah dan Jasin, kerana dakwaan terlibat dalam sindiket yang melindungi rumah urut dan kegiatan haram di Melaka.
Pasukan itu juga menahan pegawai kanan polis dari ibu pejabat polis negeri dan beberapa orang awam, termasuk “Gopi”.
Pasukan itu turut merampas lebih RM1 juta dari akaun dan rumah suspek. – 6 Julai, 2017.
Komen