NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Husam Musa hari ini sekali lagi mengkritik keputusan kerajaan Kelantan memeterai perjanjian dengan syarikat teknologi hijau Climate Protectors Sdn Bhd Januari tahun ini.
Husam menegaskan, kenyataan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob hari ini juga tidak menjelaskan isu yang dibangkitkan mengenai syarikat tersebut.
“Keraguan tentang kemampuan syarikat dan tujuan sebenarnya makin menebal apabila banyak tindakan syarikat yang mencurigakan seperti melanggar undang-undang berkaitan sehingga Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan bertarikh 23 Jun 2017.
“Dakwaan berada dalam mekanisma Bangsa-Bangsa Bersatu (UN REDD) adalah palsu, dakwaan bahawa mereka mendapat Taman Negara bagi tujuan karbon kredit juga tidak benar.
“Syarikat itu juga melaksanakan aktiviti penjualan bit coin di bawah EcoBit tanpa persetujuan kerajaan dan melencong daripada tujuan asal yang dinyatakan.
“Alamat pejabat syarikat yang dinyatakan adalah tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad hari ini menafikan dakwaan kerajaan Kelantan mengutip wang haram dalam mengendalikan program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di negeri itu sebagaimana yang disebarkan melalui media sosial.
Katanya kerajaan negeri amat mengharapkan kepada sesiapa yang ada membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan pihak berwajib.
“Kerajaan negeri sendiri pula cuba berlepas tangan dengan tidak membuat laporan polis berasingan kerana syarikat mempengaruhi orang ramai dengan mengiklankan sejuta hutan simpan yang diluluskan kerajaan Kelantan kepada mereka,” kata Husam.
Pada 9 Januari, kerajaan negeri itu menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan syarikat Climate Protector Sdn. Bhd.
Pada 26 Jun, Ahmad mengumumkan projek perniagaan karbon bertaraf dunia diluluskan kepada Climate Protectors Sdn Bhd walaupun BNM menamakan syarikat itu dalam senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun. – 5 Julai, 2017.
Komen