Wajib lulus BM untuk jadi doktor kerajaan, kata Kabinet


Diyana Ibrahim

Keputusan menolak kelonggaran itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Julai, 2017.

KABINET hari ini memutuskan untuk menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu (BM) bagi lantikan kontrak pegawai perubatan Gred UD41.

“Kita ambil keputusan untuk kekal (kan) syarat lulus BM dalam pengambilan semua sektor awam,” umum Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan Kementerian Kesihatan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengecualikan kelayakan BM untuk graduan perubatan yang memohon menjalani latihan di hospital sebelum berkhidmat.

Tindakan itu mencetuskan kritikan ramai namun kementerian mempertahankan tindakan tersebut kerana ia hanya bagi tempoh kontrak dua tahun latihan disusuli dua tahun khidmat.

Mengulas lagi mengenai isu itu, Zahid berkata kabinet turut memutuskan tiada kelonggaran berkaitan kelayakan BM dalam semua jawatan sektor awam termasuk bagi lantikan kontrak.

Katanya lagi, kabinet juga bersetuju meminda Akta Perubatan 1971 yang mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat latihan perubatan siswazah (housemanship) dan termasuk mewajibkan syarat lulus BM.

“Jemaah menteri komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Justeru itu saya menghargai pandangan yang diberikan pejuang bahasa dan saya fikir keputusan ini dapat memberi satu pencerahan kepada mereka,” katanya merujuk kepada bantahan nasionalis bahasa mengenai isu tersebut.

Selain itu, timbalan perdana menteri itu juga tidak mahu ada pihak yang cuba mengembar-gemburkan mengenai jumlah kumpulan pelajar perubatan yang terkandas akibat isu tersebut.

“Yang terbabit hanya 23 doktor terlibat dalam latihan perubatan dimana 11 daripadanya ialah anak diplomat dapat pendidikan perubatan di luar negara tapi mereka ini keturunan Melayu.

“Saya tidak mahu jumlah digembar-gembur kata 300 lah, sebab jemaah menteri ambil langkah pro aktif dengan membuat keputusan muktamad.”

Terdahulu, Menteri Kesihatan S. Subramaniam dalam sidang medianya menjelaskan langkah melonggarkan syarat tersebut membolehkan 23 pelajar perubatan terdiri daripada anak diplomat untuk menjalani latihan siswazah perubatan di sini.

Bagaimanapun timbalan perdana menteri itu berkata  pelajar perubatan terbabit boleh menduduki semula Sijil Peperiksaan Malaysia dengan menduduki peperiksaan dalam subjek BM sahaja. – 5 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen