Kerajaan ambil hak penjagaan budak 11 tahun jika perkahwinan tak sah


Looi Sue-Chern

Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rodziah Ismail berkata tindakan ini akan diambil tanpa mengira kewarganegaraan kanak-kanak tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2018.

KERAJAAN Malaysia akan mengambil hak penjagaan kanak-kanak perempuan Thailand 11 tahun jika terbukti perkahwinannya dengan lelaki berusia 41 tahun tidak sah.

Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rodziah Ismail berkata tindakan ini akan diambil tanpa mengira kewarganegaraan kanak-kanak tersebut.

“Jika terbukti perkahwinan itu tidak wujud, maka kerajaan bertanggungjawab untuk mengambil hak penjagaan anak itu.

“Tidak kiralah sama ada dia adalah warganegara Malaysia atau tidak,” Rodziah memberitahu pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Exco Wanita Pulau Pinang, Chong Eng, di Komtar hari ini.

Beliau berkata masih belum ada bukti yang menunjukkan bahawa lelaki dari Gua Musang, Kelantan itu sudah berkahwin dengan kanak-kanak itu di selatan Thailand.

Kerajaan Malaysia masih menyiasat dan mencari bukti di Malaysia dan Thailand, kata Rodziah.

Tambah beliau lagi, lelaki berkenaan akan dikenakan hukuman jika terbukti perkahwinan yang dikatakan tidak wujud, namun tidak menjelas secara terperinci mengenai bentuk hukuman.

“Kita juga akan menyiasat keluarga dan kampung di mana mereka tinggal. Kita perlu meyiasat mengapa keadaan ini berlaku, jika ia disebabkan masalah kemiskinan,” katanya.

Kontroversi ini timbul selepas isteri kedua lelaki tersebut mendedahkan mengenai perkahwinan itu di media sosial dan membuat laporan polis. Satu lagi laporan telah dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Pendedahan itu mencetuskan bantahan di kalangan rakyat. Biarpun mendapat kutukan, lelaki itu berkata tidak akan menyerahkan kanak-kanak berkenaan.

Malah dia bertegas perkahwinan telah diadakan secara sah di Sungai Golok, selatan Thailand pada 18 Jun lalu dengan persetujuan ibu bapa kanak-kanak itu. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen