KEMENTERIAN Kesihatan hari ini menjelaskan langkah mereka melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu (BM) kerana terdapat kumpulan kecil yang gagal menjalani latihan siswazah perubatan akibat perbezaan sistem pendidikan.
Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam berkata, ramai pihak salah faham dengan isu tersebut walhal keputusan tersebut dilakukan bagi membolehkan kumpulan kecil yang terdiri daripada 23 anak diplomat dapat menjalani latihan mereka di sini.
“Kumpulan kecil ini iaitu seramai 23 daripada anak-anak diplomat dan ibu bapa mereka bekerja di luar negara. Anak mereka pula menduduki sistem peperiksaan lain.
“Dan mereka ini mempunyai kelulusan perubatan dan apabila balik ke negara mereka perlu menduduki semua peperiksaan bagi syarat lulus BM.
“Mereka ini 23 orang dan 11 daripadanya merupakan anak Melayu,” katanya semasa sidang media di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini isu syarat lulus BM kepada pelajar perubatan mencetuskan kontroversi dan mendapat bantahan daripada pejuang bahasa.
Ia menyebabkan campur tangan daripada kabinet dan keputusan tersebut akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebentar lagi.
Tambahnya,
“Pada tahun 2003, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan kelonggaran untuk lantikan jawatan tetap kerana pada masa itu keperluan doktor amat amat tinggi.
“Kita juga ada ambil doktor kontrak daripada beberapa negara dan ia berterusan pada jangka masa panjang.
“Sehingga tahun 2015 Kementerian Kesihatan secara sendiri memutuskan untuk mengenakan balik syarat keperluan kelulusan untuk BM untuk perlantikan pegawai perubatan tetap.”
Kata beliau lagi, kebanjiran graduan doktor menyebabkan jawatan kontrak diwujudkan sejak awal 2016 lagi sebagai cara mengurangkan lantikan jawatan tetap.
“Tetapi gambaran yang diberi dua tiga hari ini seolah- seolah kita memberi kelongggaran kepada semua orang.
“Walhal daripada 4,500 siswazah yang dilantik daripada Disember 2016 sampai sekarang hanya 23 orang sahaja terlibat.”
Pada masa yang sama, Zahid mengumumkan keputusan kabinet menolak kelonggaran syarat lulus dengan kepujian BM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.
Katanya penguatkuasaan itu terpakai bagi lantikan jawatan tetap dan juga kontrak.
Kabinet turut memutuskan akan meminda Akta Perubatan 1971 untuk mewajibkan pelaksanaan tersebut. – 5 Julai, 2017.
Komen