KESATUAN Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menyeru agar kerajaan menyokong industri pembuatan kereta api tempatan, susulan kemungkinan usaha sama Proton-Indonesia yang dihidupkan semula.
“Sekiranya Proton boleh dibangunkan, kenapa kita tidak boleh mempunyai kereta api sendiri. Kita sepatutnya memberi tumpuan kepada industri kereta api kita supaya negara dapat berkembang,” kata Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan.
Razak berkata kereta api tempatan yang dihasilkan akan mengatasi keperluan mengeluarkan RM5 bilion bagi membeli kereta api dari China.
“Kita membelinya dari China dan seperti yang anda ketahui, produk Cina tidak berkualiti tinggi,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan.
Pada Jumaat selepas perbincangan dua hala dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kemungkinan menghidupkan semula usaha bersama antara Proton dan Indonesia bagi menghasilkan kereta pasaran Asean.
Proton dan PT Adiperkasa Citra Lestari menandatangani MOU untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan penerokaan bidang-bidang khusus bagi kerjasama.
Razak memberitahu pemberita hari ini bahawa industri pembuatan kereta api yang disokong kerajaan boleh menghasilkan gerabak untuk dijual kepada negara Asean yang berdekatan.
Beliau juga menambah projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM81 bilion tidak sepatutnya diberikan kepada China.
“Sekiranya mereka memberikan kepada KTMB, ia akan memberi manfaat. Kami mempunyai 130 tahun pengalaman (menguruskan landasan kereta api).”
Razak memberitahu pihak majlis yang gerabak lokomotif KTMB perlu ditingkatkan untuk membawa kargo bagi menambah profit.
“Kerajaan sebelum ini tidak mengendahkan nasihat kami dan KTMB merosot sehingga pekerja dijadikan kambing hitam selepas syarikat itu tidak cemerlang,” katanya.
Beliau menambah perkhidmatan itu memerlukan “profesional” dan bukan ahli politik dalam pengurusan.
“Saya menekankan kepada mereka yang pelantikan (untuk lembaga) tidak sepatutnya bersifat politik. (Para pengarah) mesti datang daripada golongan profesional. Mereka mempunyai otak perniagaan. Apabila terdapat politik, mereka berat sebelah. Kita tidak mahu itu.”
KTMB dijangka melaporkan keuntungan bersih bagi tahun fiskal 2017, yang pertama selepas hampir dua dekad kerugian, ketua pegawai eksekutif yang baru dilantik, Mohd Rani Hisham Samsudin memberitahu NST Business baru-baru ini.
Penyumbang utama kepada keuntungan adalah kenaikan dalam jualan tiket penumpang, katanya. KTMB rugi hampir RM3 bilion sejak ia dikorporatkan pada 1992. – 3 Julai, 2018.
Komen