PENGGUNA Facebook ‘Catt Ginger’ ditahan kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di media sosial baru-baru ini.
Menurut polis, suspek wanita berusia 41 tahun itu ditahan di rumahnya di Kepong pada jam 11.56 malam semalam. Wanita berasal dari Sabah itu merupakan pengurus ladang, kata polis.
Ketika ditahan, Bahagian Jenayah Siber MultiMedia Bukit Aman turut merampas telefon bimbit, komputer riba, modem dan dua unit router.
Pemilik akaun Facebook ‘Catt Ginger’ memuat naik gambar Agong yang diedit dengan gambar khinzir.
Gambar yang dimuat naik pada 25 Jun, iaitu ada Hari Raya pertama itu disertakan kapsyen ‘Selamat Hari Raya’
Individu terbabit bagaimanapun menulis pada ruangan komen di akaun Facebooknya menafikan memuatnaik gambar berkenaan dan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Astro Awani melaporkan empat NGO dan Pemuda Umno Gua Musang membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan.
Diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad, kumpulan itu membuat laporan di balai polis Gua Musang.
Antara NGO yang turut membuat laporan, Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Majis Belia Felda, Persatuan Kebajikan Islam, Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) and Pertubuhan Kebajikan Amal Jariah Islamiah SeMalaysia (Pekisa).
Sehari sebelum itu, Pemuda Umno Perak dan 12 NGO turut membuat laporan polis di Ipoh terhadap ‘Catt Ginger’ di balai polis Sg Senam. – 5 Julai, 2017.
Komen