Bro Saddiq mula tugas menteri, ajak rakyat joging


Nabihah Hamid

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memulakan tugas sebagai menteri belia dan sukan dengan  menggesa masyarakat menyertainya untuk bersenam.

Katanya, anggota masyarakat boleh berjoging bersamanya setiap waktu pagi atau petang di sekitar pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya.

“Setiap pagi kita (boleh) jogging bersama-sama sekitar Putrajaya, jika tidak selepas waktu kerja 5.30 petang,” katanya selepas upacara penyerahan tugas daripada bekas menteri Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang medianya, menteri termuda dalam Malaysia itu turut meminta agar masyarakat memanggilnya dengan gelaran Bro Saddiq sahaja dan bukannya “Yang Berhormat” (YB).

“Hari ini panggil saya Bro Saddiq. YB (Yang Berhormat) macam tua sedikit,” kata ketua Pemuda Bersatu itu yang memulakan tugas di pejabat menteri di Putrajaya hari ini.

Syed Saddiq, 26, semalam mengangkat sumpah sebagai menteri pada usia 26 tahun, memecah rekod Najib Razak yang menjadi menteri belia dan sukan ketika berusia 30-an.

Ahli Parlimen Muar itu yang berkemeja putih dan berstokin logo Superman berkata beliau komited dengan usaha membangunkan kementerian itu dan memastikan suara anak muda didengari.

Beliau turut memberi jaminan untuk meneruskan usaha positif yang dijalankan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, namun meminta masa untuk meneliti program tersebut terlebih dahulu.

“Kita akan teruskan apa yang bagus, apa yang perlu ditambah baik. Bekas menteri Khairy Jamaluddin telah meninggalkan legasi yang baik dan saya ada tugas besar untuk meneruskannya,” katanya. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen