PENYAKIT anjing gila yang menyebabkan dua adik beradik terbunuh semalam di Sarawak ialah kes pertama kematian disebabkan penyakit itu sejak hampir 20 tahun lepas.
“Setakat yang saya tahu, ini adalah kematian pertama kerana penyakit anjing gila,” kata Dr Jeffrey Stephen, penolong pengarah di seksyen pengawalan penyakit berjangkit jabatan kesihatan negeri.
“Sebelum ini, negeri diisytiharkan bebas penyakit anjing gila. Ia sangat jarang berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata kematian itu ialah kes pertama yang “terbaru”.
Kematian terakhir yang direkodkan kerana penyakit anjing gila di Malaysia ialah pada 8 Januari 1998 apabila seorang budak perempuan berusia tiga tahun mati di Hospital Sungai Petani, Kedah.
Dia digigit anjing liar di rumahnya di Padang Lembu pada 29 November 1997 menurut laporan media.
Organisasi Kesihatan Haiwan Dunia (OIE) mengisytiharkan Malaysia bebas penyakit anjing gila pada 2012 sebelum wabak itu tercetus pada Julai 2015 di negeri utara Semenanjung.
Dalam tempoh tiga bulan, Perlis mencatatkan 22 kes manusia dijangkiti penyakit anjing gila, sementara Kedah 18 kes dan Pulau Pinang empat kes.
Tiada kematian direkodkan kerana pesakit dirawat sebelum simptom muncul. Wabak itu berakhir pada pertengahan September.
Kerajaan negeri menarik balik pembunuhan besar-besaran anjing liar pada Oktober selepas 4,500 anjing dibunuh. Selain itu, lebih 8,150 anjing juga divaksinkan.
Kota Setar ialah tempat tumpuan wabak itu. Sebelum kematian budak perempuan itu pada 1998, Kota Setar juga menyaksikan tiga kematian pada 1997 dengan satu lagi kematian pada 1992.
Kota Setar terletak 60 km jauhnya daripada sempadan Thailand.
Kerajaan Sarawak masih belum mengumumkan pembunuhan besar-besaran itu. Jabatan kesihatan negeri juga menasihatkan ibubapa supaya tidak membiarkan anak-anak mereka di luar rumah tanpa kawalan dan anjing peliharaan ditambat.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas berkata yang wabak itu mungkin dibawa ke kawasan itu melalui haiwan yang berasal dari Indonesia.
“Kita akan pastikan punca utama tetapi buat sementara waktu, semua sempadan diperketat dan mengerahkan lebih banyak polis dan tentera untuk membantu berkawal di sempadan supaya tidak ada pemindahan anjing dan kucing dari Kalimantan ke Sarawak,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri semalam.
Dua beradik yang meninggal itu ialah seorang budak perempuan berusia enam tahun dan adik lelakinya berusia empat tahun berasal dari Kampung Paon, Sungai Rimu yang terletak 70km dari Kuching dalam bahagian Serian.
Sebelum itu budak lelaki itu demam dan dirawat di Hospital Serian pada 9 Jun, kakaknya pula demam dan dirawat pada 15 Jun.
Mangsa ketiga wabak itu, seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun masih mendapatkan rawatan dan dikategorikan dalam keadaan kritikal. Dia berasal dari Kampung Lebur, Gedong di Bahagian Simujan. Dia ditahan di Hospital Serian pada 23 Jun.
Jarak antara kampung itu ialah lebih kurang 15km. Sempadan Kalimantan terletak hampir 50km dari kedua-dua kampung itu.
Semalam, kerajaan Sarawak mengisytiharkan lima kampung di Serian sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies, mengarahkan semua anjing peliharaan dalam lingkungan 10km radius di kampung terbabit diberikan suntikan vaksin.
Lima kampung terbabit ialah Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor.
“Kawasan pengawasan diperluaskan ke 10km dari zon yang dijangkiti kerana kami dimaklumkan apabila anjing dijangkiti rabies, ia akan mati dalam tempoh tiga hingga sembilan hari – pergerakannya akan terhad,” katanya.
Sementara itu, Uggah juga dikritik kerana dakwaan sebelum ini yang mengatakan tiada klinik haiwan kerajaan di negeri itu kerana pemotongan bajet.
“Saya menggesa untuk penubuhan klinik haiwan kerajaan di bandar berbeza untuk menyediakan capaian lebih baik dan penjagaan kesihatan mampu milik bagi memastikan penyakit seperti itu dapat dielakkan,” kata Dr Kelvin Yii, pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan.
“Kita tidak mahu lagi kejadian tidak diingini berlaku selain nyawa mereka yang masih muda hilang hanya kerana kecuaian sesetengah pihak,” katanya.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat di talian SHD Sarawak 082-443248/082-441780, setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. – 5 Julai, 2017.

Komen