Jawatan ketua pembangkang? KJ serah pada ahli Parlimen


Nabihah Hamid

KHAIRY Jamaluddin menyerahkan kepada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menentukan ketua pembangkang yang akan mengetuai blok itu di Dewan Rakyat.

“Jawatan ketua pembangkang ini mestilah diputuskan ahli Parlimen pembangkang. Ahli Parlimen pembangkang belum lagi bermesyuarat.

“Saya sebenarnya tidak mahu pegang apa jawatan buat masa ini. Tapi terserahlah kepada ahli Parlimen pembangkang,” katanya yang berkeras untuk tidak menerima jawatan tersebut.

Beliau mengulas mengenai cadangan akar umbi dan pemimpin Umno yang mahu beliau dilantik sebagai ketua pembangkang.

Antara pemimpin yang membangkitkan perkara itu ialah Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahli Parlimen Rembau itu menolak tawaran jawatan setiausaha agung oleh presiden baharu Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas gagal merebut jawatan tertinggi parti itu.

Katanya, beliau kini lebih selesa tanpa sebarang jawatan kerana boleh mengkritik dengan bebas untuk memastikan perubahan parti Umno.

Tempoh ini juga memberikannya peluang untuk berehat, katanya yang menjadi ketua Pemuda Umno selama sembilan tahun dan menjadi menteri selama satu penggal.

“Saya mahu berehat sekejap dan pastikan bebas bercakap dan memastikan parti saya melakukan perubahan. Kalau kita pegang jawatan ini, terikat sikit,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas upacara penyerahan tugas kepada menteri baharu Syed Saddiq Syed Rahman di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya hari ini. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen