SKANDAL rasuah membabitkan Consortium Zenith Constructions Sdn Bhd (CZC) – kontraktor yang membangunkan terowong dasar laut dan lebuh raya Pulau Pinang, tidak menjejaskan rancangan kerajaan negeri untuk projek yang bernilai RM6.3 bilion itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata skandal itu tidak sepatutnya menjejaskan rancangan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek infrastruktur.
“Ia membabitkan pihak ketiga yang tidak ada kaitan dengan projek itu.
“Kami tahu penjelasan yang diberikan CZC kepada media semalam. Kami akan tunggu hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditanya tentang perkara itu pagi ini.
Terowong Pulau Pinang dan tiga lebuh raya utama dimulakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang menjadi sasaran serangan oleh bekas kerajaan persekutuan Barisan Nasional, ahli politiknya dan pihak yang menyokongnya.
Urus niaga CZC berkaitan projek itu disiasat oleh agensi anti rasuah.
Pada Februari, SPRM menahan seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun disyaki menerima rasuah untuk menutup siasatan SPRM terhadap CZC di Putrajaya.
Perkara itu mendapat perhatian apabila CZC mengeluarkan surat tuntutan kepada individu berkenaan dan pemimpin terkemuka Umno kerana didakwa gagal melaksanakan tugasan mereka untuk menyiapkan khidmat rundingan seperti dalam perjanjian pada Julai 2013.
Katanya, RM22 juta dibayar kepada dua pihak – RM19 juta kepada ahli perniagaan itu dan RM3 juta kepada Abdul Azeez Abdul Rahim.
Tidak lama kemudian didedahkan bahawa Azeez yang ketika itu ahli Parlimen Baling menjadi mangsa “nama digunakan”. Ahli perniagaan terbabit menggunakan nama Azeez, membuatkan Zenith percaya bahawa Azeez mewakili ahli perniagaan itu. – 3 Julai, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen