PENGERUSI Permodalan Nasional Berhad (PNB) Zeti Akhtar Aziz berkata beliau akan memberi ulasan berhubung dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak yang beliau mengetahui kewujudan RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun peribadinya pada 2013.
“Saya tidak akan memberi komen sekarang tetapi akan sampai masanya anda menerima komen mengenainya,” kata bekas gabenor Bank Negara Malaysia itu kepada pemberita di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Najib berkata beliau tidak bimbang mengenai RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun banknya pada 2013 kerana kewujudannya diketahui Zeti, yang tidak mempersoalkannya.
“Jika Bank Negara tahu tentang dana ini, dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan tentang sumbernya, mereka patut beritahu saya.
“Tetapi ia tidak berlaku. Jadi saya menyangka ia tiada masalah,” katanya dalam satu temu bual.
Zeti, yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, adalah gabenor bank pusat ketika didedahkan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu.
Najib sedang disiasat berhubung penyelewengan dan pengubahan wang haram yang disalurkan daripada 1Malaysia Development Bhd, firma pelaburan negara yang ditubuhkannya ketika menjadi perdana menteri pada 2009.
Beliau mempertahankan yang wang berbilion ringgit terdapat dalam akaun banknya adalah derma daripada seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi dan ia sudah dipulangkan. – 3 Julai, 2018.
Komen