NAIB Presiden Amanah Husam Musa berkata beliau sedia menjadi calon menteri besar Kelantan Pakatan Harapan (PH) jika tiada calon lain yang layak untuk merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Husam yang juga Adun Salor berkata kenyataan pemimpin PAS mengenai calon menteri besar PH juga menunjukkan mereka seperti yakin akan tewas pada pilihan raya akan datang.
“Pada masa ini saya terima dinamakan, sementara ada orang lain yang lebih berkelayakan supaya rakyat Kelantan nampak siapa nak pimpin mereka, latar belakang mereka dan supaya parti dalam PH boleh bersatu tenaga.
“Saya teruja kerana PAS macam yakin yang mereka akan hilang kerajaan. Kalau tak hilang kerajaan kenapa dia nak bahas menteri besar orang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.
Pada 30 Jun lalu, semasa ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Amanah di Kota Bharu, Kelantan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengumumkan Husam merupakan calon menteri besar PH pada PRU14 akan datang.
Kenyataan Lim menyebabkan Amanah diserang pemimpin PAS yang mengatakan calon menteri besar Kelantan parti itu merupakan “proksi DAP”.
Sebaliknya Husam yang juga bekas exco Kelantan pada zaman pentadbiran Nik Aziz Nik Mat mendesak PAS menamakan calon menteri besar mereka untuk PRU14.
“Adakah Ahmad Yakob akan jadi menteri besar lagi? Atau Nik Amar akan jadi menteri besar? Atau Nik Abduh jadi menteri besar kita pun nak tahu.
“Kita Pakatan Harapan pun nak tahu siapa calon menteri besar PAS sebab PAS menguasai Kelantan sebagai sebuah kerajaan takkan dia tak boleh namakan menteri besar?” soalnya.
Husam berkata sesiapa sahaja boleh mencadangkan calon menteri besar tetapi tidak semestinya diterima.
“Dalam dunia politik dinamik. Kita boleh cadangkan supaya dapat maklumbalas dan ada pergerakan positif.
“Seperti saya cadangkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sementara itu adalah pandangan peribadi saya, kalau orang tolak saya tak terasa hati,” katanya.
Amanah daripada DNA PAS bukan DAP
Husam menafikan dakwaan Amanah merupakan “anak kandung DAP” dan sebaliknya parti itu lebih dekat dengan PAS.
“Saya anak kandung PAS, saya tak pernah masuk DAP dan kalau saudara lihat ada majlis tertentu saya boleh lontarkan persoalan depan pemimpin DAP.
“Dulu masa saya berceramah di Bangi tentang Felda saya minta Lim Kit Siang berdiri dan beri komitmen adakah dia akan menyokong Felda dimajukan kalau PH menang? Dia terus bangun dan jawab, ya.
“Tak ada seorang pun pemimpin Amanah daripada DAP. Semua daripada PAS. Tetapi PAS tak nak mengaku ini anak PAS, dia kira sebagai anak luar nikah,” katanya.
Husam berkata ini kerana PAS sedar Amanah akan menjadi pesaing utama mereka pada masa akan datang.
“Kalau Amanah boleh bertahan pilihan raya nanti dan PAS dipinggir, hilang kerajaan Kelantan, kalah Parlimen parti Islam masa depan malaysia parti Amanah.
“Jadi Amanah adalah musuh sebenar PAS, dia adalah pesaing PAS yang paling sengit, paling dekat,” katanya. – 4 Julai, 2017.
Komen