SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau sedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi supaya cakap-cakap mengenai pembatalan pendaftaran DAP di Pendaftar Pertubuhan (RoS) dapat diperjelaskan.
“Saya sedia berjumpa Zahid untuk membersihkan sebarang cubaan membatalkan pendaftaran DAP. Kita mahu pilihan raya yang adil,” katanya.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika mengulas kenyataan Zahid semalam mengenai keputusan yang akan dibuat minggu depan berhubung kontroversi dalam pemilihan DAP pada Disember 2012.
Kesilapan itu bagaimanapun diperbetulkan namun ada ahli parti tidak berpuas hati dan membuat aduan kepada RoS menyebabkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu diisytiharkan tidak sah.
Zahid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua pengarah RoS minggu depan dan meminta DAP tidak membuat spekulasi yang Umno cuba melucutkan pendaftaran parti pembangkang.
Lim berkata bukan DAP yang membuat spekulasi tentang masa depan parti itu, tetapi isu itu dimulakan setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Najib Razak, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.
Beliau berkata Tengku Sariffuddin yang membuka mulut seolah-olah dia mengambil alih kuasa menteri dalam negeri dan RoS.
“Kami mengecam tindakan beliau kerana cuba membatalkan pendaftaran DAP hanya kerana beliau hilang hujah dan tidak berpuas hati dengan kolum ditulis Liew Chin Tong.
“Ia bermula kerana komen Liew. Terutama mengenai kemungkinan pilihan raya akan diadakan tahun depan kerana beliau (Najib) hilang sokongan dalam Barisan Nasional.
“Sebab itu beliau (Sariffuddin) marah. Kemudian dia bercakap tentang pembatalan DAP, yang benar-benar tidak jujur. Kenapa hendak bangkitkan isu itu lagi,” katanya pada sidang media hari ini.
Ahad lalu, Liew yang juga ahli Parlimen Kluang berkata pemerhatiannya mendapati Najib semakin tersisih dalam kalangan pemimpin kerana tiada pemimpin Umno yang sedia mempertahankan beliau.
Najib berdepan tekanan berhubung skandal 1MDB selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman ketiga untuk mengembalikan aset bernilai berbilion ringgit yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan itu.
Dalam kenyataan lewat malam tadi, Sariffuddin berkata DAP tidak tahu sama ada boleh menggunakan logo roket pada pilihan raya umum akan datang dan menambah, RoS tidak mengiktiraf CEC parti itu.
Lim berkata isu DAP dengan RoS diselesaikan Pengerusi Biro Undang-undang DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.
Gobind dalam satu kenyataan berkata kenyataan Sariffuddin salah dan beliau sepatutnya merujuk kepada peguam RoS yang menguruskan saman DAP pada 2014 berhubung perkara itu.
“RoS menerusi peguamnya mengakui kepada DAP apa yang disampaikan dalam surat hanyalah rujukan dan tidak rasmi.
“RoS juga mengakui CEC DAP yang dipilih pada 29 September, 2013 boleh menjalankan tugas, fungsi dan kuasa dalam pentadbiran parti mengikut perlembagaan DAP,” katanya. – 4 Julai, 2017.
Komen