Skandal bersilih ganti, Melayu tetap setia pada pemimpin


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Ahli akademik berkata kesetiaan dan feudalisme menyebabkan orang Melayu terus menyokong pemimpin mereka walaupun dilanda pelbagai skandal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2017.

KESETIAAN dan feudalisme menyebabkan orang Melayu terus menyokong kepimpinan Malaysia walaupun pelbagai skandal melanda dan siasatan antarabangsa, kata ahli akademik mengulas kenyataan A Samad Said mengenai kurangnya kebangkitan kaum terbesar di negara ini menentang kerajaan.

Tetapi masyarakat Melayu kebanyakan mengecam sasterawan itu, berkata beliau hanya bermain politik menjelang pilihan raya umum (PRU) yang perlu diadakan sebelum berakhirnya 2018.

Profesor Madya Zainal Abidin Borhan berkata bukan mudah untuk orang Melayu mempercayai kenyataan seperti hal penyelewengan wang dan salah tadbir kerajaan.

“Melayu setia pada pemimpin manakala pembangkang ada kepentingan sendiri. Jadi bukanlah watak orang Melayu itu tidak betul. Tapi mereka berhati-hati.

“Konvensional orang Melayu taat setia kepada pemimpin, perpaduan orang Melayu dan tak mudah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang terutama parti dikuasai bukan Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Samad baru-baru ini melahirkan kekecewaannya terhadap orang Melayu yang “tidak melihat kebenaran sebagai kebenaran,” sambil menambah sikap bangsanya itu membimbangkannya.

Katanya, beliau tidak bimbang dengan Cina dan India kerana mereka tahu antara baik dan buruk, dan benar dan salah, dengan cepat.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Faizal Musa juga sependapat dengan Zainal.

Pengarang terkenal dengan nama pena Faisal Tehrani merujuk hasil tulisan pakar sosiologi Profesor Syed Hussein Alatas pada 1968 yang menjelaskan mengenai perihal orang Melayu dan psikologi feudal yang ditanggung mereka.

Faisal berkata orde politik dikuasai golongan pemerintah yang mana kuasa itu kelak diturunkan kepada anak cucu dan cicit serta seterusnya, supaya mereka terus kekal berkuasa.

“Kesetiaan penuh itu kembali dalam bentuk psikologi feudal di mana orang Melayu tidak berupaya mengkritik, taat membuta-babi, tidak berani bersuara, bahkan tidak mengambil peduli, mengelak untuk menentang dan akur dengan segala penindasan serta penganiayaan pihak atasan terhadap mereka dengan begitu pasrah sekali.

“Maka, tanda feudalisme ini kembali dalam masyarakat demi mengekang terus mereka daripada bangun bertanya atau mempersoalkan,” katanya.

Beliau berkata nilai psikologi feudal itu sendiri terjelma dalam pelbagai bentuk, acuan, pendekatan, strategi dan dipaksakan.

Kaji selidik pusat kajian Politweet pada 2015 menunjukkan Barisan Nasional (BN) memperoleh sokongan pengundi Melayu, dengan 59% undi Melayu di semenanjung Malaysia pada PRU13. Terdapat sedikit peningkatan daripada 57% pada PRU12.

Politweet juga menjangkakan Melayu merangkumi 52.63% daripada jumlah keseluruhan pengundi PRU13. Berdasarkan bancian negara, 44.32% daripada jumlah keseluruhan penduduk pada 1970 ialah Melayu. Angka itu meningkat kepada 55.07% pada 2010.

The Malaysian Insight menemu bual beberapa orang Melayu mendapati kebanyakan tidak bersetuju dengan kenyataan sasterawan yang kini ahli DAP itu.

Pegawai keselamatan Payton Jaafar, 66, berkata kenyataan Samad atau lebih dikenali dengan nama Pak Samad itu merupakan pandangan peribadinya.

“Saya tak sokong dengan kenyataan A. Samad Said. Kita bukan negara yang mengamalkan sikap perkauman. Apa yang dia cakap itu agak perkauman sedikit,” katanya.

Katanya, isu seperti 1MDB hanyalah permainan politik pembangkang.

Azman, 41, pengurus sumber manusia dari Johor Baru mempersoalkan mengapa sasterawan negara itu perlu memburukkan bangsanya sendiri dengan menegaskan kaum Melayu tahu untuk membezakan antara perkara yang benar dan tidak.

“Jika dia mahu bercakap mengenai persepsi orang Melayu tentang isu 1MDB, semua orang tahu isu itu. Jadi rasanya tidak perlu untuk mereka (pembangkang) menumpukan mengenai 1MDB.

“Pandangan saya ialah pilihan raya semakin dekat dan ini merupakan salah satu cubaan untuk menjatuhkan kaum Melayu. Kenapa dia perlu ‘provoke’ bangsa dia sendiri,” katanya.

Kenyataan Pak Samad tepat pada masanya ketika skandal melibatkan 1MDB dan saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) untuk merampas aset yang dibeli menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada firma pelaburan negara itu, kembali menjadi tajuk utama.

Bagaimanapun, Hafiz Jamil, 28, berkata pendedahan terhadap bahan bacaan sememangnya mempengaruhi seseorang itu berfikir dengan apa yang terjadi dengan isu sekeliling.

“Saya rasa betul juga kenyataan Pak Samad. Ini bergantung kepada situasi. Contohnya bagi mereka di kawasan luar bandar kebanyakannya dapat berita melalui TV dan akhbar bukan Internet. Jadi pengetahuan mereka terhad. Pemahaman mengenai isu kritikal nasional seperti 1MDB pun kurang,” katanya. – 4 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen