LAPORAN polis terhadap syarikat JJ Poor to Rich (JJPTR) semakin bertambah dengan 26 orang membuat laporan di Pulau Pinang setakat ini.
Ia dibuat oleh para pelabur yang mendakwa tidak menerima pulangan sejak JJPTR mendakwa akaun dagangan forexnya digodam pada akhir April.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Asst Comm Abdul Ghani Ahmad berkata tiga kertas siasatan dibuka mengenai kes itu.
“Siasatan kami di Pulau Pinang sahaja melibatkan pelaburan sebanyak RM239,310. Daripada jumlah itu, hanya RM30,332 yang mendapat pulangan, baki RM209,000 hilang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang hari ini.
Ghani berkata siasatan diteruskan untuk mencari bukti bagi mengenakan caj terhadap syarikat itu.
“Kami selesai (siasatan) dengan pengasasnya, Johnson Lee. Beliau dibebaskan dengan jaminan polis.
“Sekarang kita sedang mengumpul bukti untuk mengetahui sama ada kita mempunyai alasan mengemukakan tuduhan,” katanya.
Ghani juga berkata Bukit Aman sedang memantau siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Kami melihat kes itu dari semua sudut, termasuk pengubahan wang haram di bawah AMLA,” katanya, merujuk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Perolehan Akta Aktiviti Tidak Sah. – 3 Julai, 2017.
Komen