KEPUTUSAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melonggarkan syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu (BM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 membantutkan usaha membina bangsa Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Luar Negara Umno, Wan Md Haslin Agyl Wan Hassan menggesa ia dinilai semula kerana polisi itu dianggap menjatuhkan martabat bahasa kebangsaan.
“Kita nampak polisi ini tidak memberi jalan penyelesaian dan akan memberi masalah lebih besar di peringkat nasional.
“Kalau hari ini kita boleh longgarkan syarat untuk tidak berbahasa Melayu, tidak mustahil satu hari nanti rakyat tidak peduli dengan bahasa.
“Di manakah kita dalam membina bangsa Malaysia? Kita sedang fokus membina bangsa Malaysia, jika ini polisi KKM saya rasa ia tidak selaras dengan pembinaan bangsa Malaysia,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau turut menggesa kerajaan menilai secara holistik polisi tersebut dan membentangkannya kepada Kabinet.
Malah, NGO itu juga bersedia memberikan kerjasama dalam mencari jalan penyelesaian.
“Alumni juga berasa perlu ada satu platform atau sidang meja bulat bagi mana-mana kementerian yang ingin mengadakan sesi dialog ataupun perbincangan dengan NGO.
“Kami bersedia memberi dan membantu kerajaan mencari penyelesaian, bukan sekadar polisi am sahaja, malah isu lain juga.
“Jangan disebabkan isu kecil, kita keluarkan polisi yang am dan cipta isu lain,” katanya lagi.
Kementerian sebelum ini mempertahankan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus BM bagi memberi keadilan kepada graduan perubatan lantikan kontrak yang tidak menduduki peperiksaan subjek itu semasa mengambil SPM.
KKM merujuk kepada graduan perubatan yang belajar di luar negara, menduduki peperiksaan O-Level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Kebangsaan di universiti serta beberapa kategori lain. – 3 Julai, 2017.
Komen