MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan kes sekatan perjalanan kartunis satira politik Zunar kepada 25 September.
Zunar, atau Zulkiflee SM Anwarul Haque, yang berdepan sembilan tuduhan hasutan kerana menghina mahkamah melalui Twitter berhubung sabitan kes liwat membabitkan bekas ketua pembangkang, Anwar Ibrahim pada 25 Februari 2015, dilarang ke luar negara selama dua tahun.
Larangan itu katanya, berkuatkuasa serta merta selepas beliau menerima “Anugerah Kartunis untuk Keamanan 2016” daripada Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan di Geneva.
Zunar memfailkan semakan semula kehakiman untuk larangan itu pada Disember tahun lalu dan dibenarkan untuk mencabar larangan itu pada April.
“Pagi ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 25 September untuk mendengar semula kes itu. Saya perlu menunggu tiga bulan lagi untuk mengetahui sama ada saya dibenarkan ke luar negara atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di laman web zunar.my.
Dia diwakili peguam Melissa Sasidaran.
Zunar merupakan kartunis kontroversi kerana lukisannya yang mengkritik pihak berkuasa.
Kartun yang dihasilkannya mengetengahkan isu nasional seperti skandal 1Malaysia Development Berhad dan politik, mengejek pemimpin, terutamanya Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor.
Pejabat dan pamerannya pernah diserbu pihak berkuasa dan komiknya turut dirampas beberapa kali. – 3 Julai 2017
Komen