DALAM ceramah pertama DAP Pulau Pinang di kawasan kampung malam tadi, parti itu cuba menjelaskan “ibu kepada semua skandal Malaysia” - 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pulau Pinang adalah pelancaran lawatan 1MDB Pakatan Harapan (PH) yang akan diadakan selama dua bulan. Dengan tema “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleprokrasi”, jelajah pertama adalah di Dewan JKKK Penaga di Kepala Batas, di mana kerusi negeri dan Parlimen dipegang Umno.
Penceramah yang akan menjelaskan skandal 1MDB ialah setiausaha publisiti DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Batu Kawan P. Kasthuriraani.
Turut hadir pada jam 9 malam ialah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang Marzuki Yahaya.
Zairil berkata selepas DAP Pulau Pinang berjaya mengadakan dua ceramah 1MDB dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, yang menyaksikan kehadiran penuh pada bulan Mei, mereka berharap dapat mengulangi kejayaan yang sama pada perbincangan yang akan diadakan dalam Bahasa Melayu pada Khamis.
Beliau berkata ceramah itu akan “dirangka sedikit berbeza” untuk menampung penonton Melayu luar bandar untuk menerangkan 1MDB, yang agak teknikal dan melibatkan sejumlah wang yang besar.
“Ia kes yang rumit, bukan seperti kes rasuah biasa. (Dalam kes 1MDB) ia adalah wang melalui syarikat-syarikat bayangan dan cara pengubahan wang lain, dan kemudian masuk ke akaun peribadi individu tertentu.
“Saya percaya Pua dan penceramah lain dapat menerangkan dengan jelas, menyampaikannya dengan cara yang lebih mudah untuk orang awam memahami,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP Pulau Pinang hari ini.
Zairil, yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, aliran data akan digunakan untuk menggambarkan bagaimana 1MDB mengumpul dana, menyalurkan dan membelanjakan wang, parti mana yang menerima wang tersebut, bagaimana ia dikatakan berakhir dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak, dan bagaimana dana digunakan untuk membeli aset mewah seperti berlian, jet dan kapal layar serta lukisan dan hartanah.
“Isu-isu tertentu dalam skandal itu boleh diserlahkan, seperti pembelian aset mewah, termasuk kalung berlian merah jambu 22-karat. Dengan campuran grafik dan penerangan, tidaklah mustahil bagi orang ramai memahami isu itu,” katanya.
Kalung berlian merah jambu yang disebutkan dalam saman terkini DoJ didakwa dibeli untuk isteri “Malaysian Official 1” (MO1), yang sebelum ini dikenalpasti sebagai Najib oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan.
Jelajah 1MDB diumumkan ketua pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu, susulan tuntutan saman terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu untuk mendapatkan aset bernilai berbilion ringgit yang dibeli dengan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
Penganalisis politik memberitahu The Malaysian Insight 1MDB adalah satu isu yang terlalu rumit untuk kebanyakan penduduk kampung yang lebih bimbang dengan kenaikan kos sara hidup dan isu-isu asas lain, dan PH terpaksa melakukan lebih daripada sekadar berucap di ceramah.
Mereka juga berpendapat ia menjadi satu cabaran bagi PH untuk menyampaikan mesej kepada mereka yang paling perlu diyakinkan berhubung isu 1MDB - orang yang menyokong Barisan Nasional (BN) dan mempercayai segala yang diberitahu parti pemerintah itu.
Mengenai mendapatkan orang ramai yang tepat untuk hadir ke ceramah pada Khamis, dan bukan hanya penyokong mereka sendiri, Zairil berkata mereka mengharapkan kedatangan mereka (Melayu) yang berminat dengan isu ini.
“Kami mengadakan ceramah ini di kawasan kampung kerana kami tidak mahu isu 1MDB hanya dibincangkan di kawasan bandar.
“Bagi mereka yang tidak hadir, kami membuat rakaman video yang boleh dikongsi melalui platform media sosial seperti WhatsApp. Video itu boleh dihantar kepada semua orang.
“Sebelum ini, kami mempunyai video dalam sesi Bahasa Inggeris dan Mandarin. Sekarang, kami akan mengadakan sesi video berbahasa Melayu.” katanya.
Zairil juga berkata PH merancang mengadakan ceramah serupa di setiap negeri sehingga berakhirnya jelajah pada bulan September.
Beliau menambah, sejak pihak berkuasa Malaysia belum mengambil tindakan terhadap pelaku di sebalik skandal 1MDB, tidak seperti pihak berkuasa di AS, Switzerland dan Singapura, terpulang kepada PH untuk mengadakan kempen nasional untuk meningkatkan kesadaran, menggerakkan rakyat dan menerapkan lebih banyak tekanan pada Kerajaan. – 3 Julai, 2017.
Komen