Rafizi tangguh bentang aplikasi panggilan pengangkutan di Parlimen


Noel Achariam

Rafizi Ramli akan failkan penangguhan untuk sebarang aplikasi perkongsian pengangkutan di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2017.

RANCANGAN Putrajaya untuk melaksanakan aplikasi panggilan pengangkutan bakal berdepan halangan apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mahu terlebih dahulu membincangkan nasib pemandu teksi.

Naib presiden PKR itu juga akan menghantar usul untuk menangguhkan usaha membentangkan Akta Pengangkutan Awam Darat bagi mengawal e-hailing (e-panggilan) seperti syarikat Uber dan Grab pada sidang Parlimen akan datang.

Rafizi berkata, beliau akan terus memperjuangkan nasib 80,000 pemandu teksi di Lembah Klang di bawah Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang sehingga nasib mereka mendapat perhatian pihak berkuasa berkenaan.

“Saya akan hantar usul 14 hari kerana saya percaya ada rancangan untuk bentangkan perlembagaan aplikasi perkongsian pengangkutan pada sidang kali ini.

“Kita mahu pastikan isu yang dihadapi pemandu teksi diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang penggubalan diluluskan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pemandu teksi pada Kongres Pemandu Teksi Malaysia di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Rafizi berkata, masalah yang dihadapi pemandu teksi juga akan dihadapi Uber dan Grab akan datang.

“Ia bukan tentang pemandu teksi lawan khidmat e-panggilan.

“Ini mengenai syarikat yang mengaut untung tanpa risiko.

“e-panggilan dan industri teksi mempunyai saingan sengit di mana risikonya ditanggung oleh pemandu kedua-dua pihak.

“Pemandu perlu bayar kenderaan, insurans, penyelenggaraan dan minyak manakala syarikat mereka mengaut sebahagian besar daripada keuntungan,” katanya.

Rafizi berkata, untuk khidmat e-panggilan, syarikat berkenaan kini mengambil 25% komisyen, tetapi ia mungkin akan meningkat pada masa akan datang.

“Bagaimana sekiranya syarikat berkenaan menaikkan komisyen kepada 35% dan apa yang akan berlaku kepada mereka yang berhenti kerja sepenuh masa untuk menyertai khidmat e-panggilan.

“Namun orang awam tidak menyedari hakikat ini kerana terdesak untuk meraih pendapatan sampingan.

“Bila kita selesaikan isu pemandu teksi, barulah kita boleh pertimbangkan untuk undang-undang e-panggilan.

“Sekiranya mereka teruskan e-panggilan, masalah akan bertambah rumit kerana perlu selesaikan masalah yang dihadapi pemandu teksi dan khidmat e-panggilan,” katanya.

Rafizi berkata punca masalah itu adalah kerana terdapat kumpulan elit yang mengambil kesempatan terhadap usaha keras orang lain.

“Masalah yang paling besar ialah negara kita membenarkan mereka yang berkepentingan mengambil kesempatan terhadap mereka yang bekerja keras. Dalam kes pemandu teksi ini, ia adalah sama seperti perhambaan.

“Saya akan cuba dedahkan siapa yang terlibat dalam syarikat berkenaan.

“Apa yang perlu dilakukan adalah mengumpul bukti. Sekiranya kita kesan bila permit dikeluarkan kepada syarikat, kita boleh kesan kementerian mana yang mempunyai kuasa dan siapa kaut untung daripada perkara ini,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Rafizi, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin berkata, sudah tiba masanya ahli Parlimen mengambil langkah untuk mengetengahkan isu yang dihadapi oleh pemandu teksi.

“Sudah banyak kali kami ke Parlimen, namun tiada seorang pun ahli Parlimen dari Barisan Nasional berjumpa dan mendengar keluhan kami.

“Hanya mereka dari pembangkang yang membantu kami.

“Mereka (Barisan Nasional) perlu faham terdapat 80,000 pengundi dalam pertubuhan ini.

“Mengapa mereka mengetepikan kami, adakah mereka tidak perlukan undi kami,” katanya.

Kongres itu dihadiri kira-kira 200 pemandu teksi daripada pelbagai persatuan. Mereka turut bersetuju menubuhkan kesatuan bagi merancang mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan.

Dalam masa yang sama, kumpulan itu turut membantah pelantikan bekas Pengerusi Felda Global Venture Holding Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad sebagai pemangku Pengerusi SPAD dan menyatakan mereka mahu seseorang yang lebih ‘bersih’ untuk jawatan itu.

Isa dilantik ke jawatan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdu Razak pada 19 Jun lalu, hari yang sama beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi FGV. –  3 Julai 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen