Kerajaan siasat jika wujud 'sexual grooming' dalam perkahwinan budak 11 tahun


Melati A. Jalil

Dr Wan Azizah wan Ismail berkata ini kerana 'sexual grooming' atau persediaan seksual adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2018.

SIASATAN terhadap kes perkahwinan kanak-kanak di Gua Musang, Kelantan akan diperhalusi sama ada lelaki berusia 41 tahun itu telah melakukan hubungan seksual dengan bakal isterinya yang berumur 11 tahun sebelum berkahwin, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri berkata ini kerana “sexual grooming” atau persediaan seksual adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Pegawai-pegawai saya sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan tempatan lain untuk memperhalusi kes ini dengan lebih  teliti.

“Ini termasuk sama ada terdapat unsur-unsur ‘sexual grooming’ dalam hubungan antara lelaki berkenaan dengan kanak-kanak perempuan ini sebelum perkahwinan yang didakwa,” beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Hari Raya di kementerian itu.

Menurut pembantunya, timbalan perdana menteri telah meminta mesyuarat tergempar diadakan pada pagi tadi dengan beberapa agensi berkaitan bagi membincangkan kes tersebut.

Che Abdul karim Che Abdul hamid, 41, yang bekerja sebagai peraih getah sekerap di Gua Musang mengambil kanak-kanak perempuan berumur 11 itu sebagai isterinya dan mereka didakwa berkahwin di Selatan Thailand pada 18 Jun lalu.

Wan Azizah berkata meskipun siasatan dijalankan, kerajaan tetap melindungi kesejahteraan kanak-kanak itu.

“Kita akan bawa pakar perubatan dan kaunselor bagi membantunya menghadapi keadaan ini,” kata timbalan perdana menteri.

Malah beliau menegaskan bahawa sehingga hari ini pihak berkuasa masih belum menerima sebarang dokumen yang membuktikan perkahwinan tersebut dijalankan di Golok.

“Sehingga hari ini, tiada kelulusan berkaitan telah dimohon sama ada oleh pasangan atau ibu bapa kanak-kanak berkenaan maka tiada kelulusan telah diberikan untuk membolehkan perkahwinan itu berlangsung seperti didakwa,” katanya.

“Memandangkan kanak-kanak itu adalah bawah umur, hubungan mereka akan berada di bawah bidang kuasa pelbagai undang-undang mengenai perlindungan kanak-kanak,” Wan Azizah.

Umur sah berkahwin bagi lelaki dan perempuan Islam di Malaysia masing-masing adalah 18 dan 16. Bagaimanapun, perkahwinan mereka di bawah umur tetap sah dengan persetujuan hakim syariah.

Manakala bagi orang bukan Islam, umur yang dibenarkan bagi lelaki dan wanita untuk berkahwin ialah 16 tahun. Namun, bagi perempuan yang berusia 16 tahun boleh berkahwin selepas mendapat kebenaran dari ketua menteri atau menteri besar.  – 2 Julai, 2018.

– Berita penuh di sini.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen