PH ingin struktur berkesan hadapi PRU14 sebelum umum barisan tertinggi


Nabihah Hamid

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengakui Pakatan Harapan sedang memperkemaskan struktur kepimpinannya ketika menghadiri majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Pandan Indah, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Julai, 2017.

MESKIPUN masih berteka-teki mengenai barisan tertinggi Pakatan Harapan (PH), Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata perbincangan masih diteruskan untuk memastikan struktur gabungan yang benar-benar berkesan. 

Katanya, PH bukan sahaja fokus mengenai siapa yang mengetuai gabungan pembangkang itu tetapi juga persediaan ke arah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

“Cuma kita perlu perkemaskan sedikit sahaja lagi kerana pada masa sama kita mahu fokus memastikan semua perbincangan ke arah PRU14 juga berjalan baik dan lancar,” katanya.

Menurut Azmin, ia bukan sahaja melibatkan struktur jawatan tetapi persiapan manifesto dan agihan kerusi juga sedang diperkemaskan. 

“Memandangkan perbincangan berjalan baik dan lancar, ia boleh diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada media pada majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah, hari ini. 

Menteri besar Selangor itu bagaimanapun enggan mendedahkan bila pengumuman akan dibuat. 

“Selesai Syawal nanti kita boleh kemukakan struktur yang jelas termasuk perkara berkaitan PRU14,” kata ahli Parlimen Gombak itu. 

Pada masa sama, Azmin menegaskan dalam struktur baru dalam PH, setiap individu dalam parti pembangkang akan memainkan peranan ke arah perubahan.

“Itu yang sedang kita bincangkan supaya satu struktur berkesan yang melibatkan secara insklusif semua pihak kerana setiap individu ada peranan. 

“Saya tidak mahu menafikan peranan mana-mana individu yang memberikan sumbangan lebih besar ke arah perubahan dalam PRU14,” katanya. 

Pada 9 Jun lalu, PH menangguhkan pengumuman barisan Majlis Presiden sebelum membuat Pendaftaran Pertubuhan (RoS). 

Sehingga kini, tiada pengumuman dibuat berkaitan barisan yang menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu malaysia (PPBM) itu. 

Pada mesyuarat sebelum ini, Dr Mahathir  dicadangkan sebagai penasihat bersama Anwar Ibrahim manakala Wan Azizah sebagai pengerusi.

Semua ketua parti gabungan dicadangkan sebagai naib pengerusi iaitu Muhyiddin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. – 2 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen