SEBAGAI sebuah syarikat kumpulan, AirAsia pernah berdepan 32 insiden dengan satu kematian didaftarkan sejak penubuhannya pada 1996, tetapi agensi penarafan berpangkalan di Australia airlineratings.com mengatakan syarikat penerbangan itu masih selamat.
Daripada 32 insiden yang dicatatkan The Aviation Herald, AirAsia mempunyai bilangan insiden tertinggi iaitu 13, AirAsia X (8), AirAsia Zest (4), AirAsia Thailand (3) dan AirAsia Indonesia (2). AirAsia Filipina dan India masing-masing dengan satu insiden.
AirAsia menjadi tajuk berita media baru-baru ini apabila penerbangan AirAsia X D7237 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah semula ke Perth selepas 90 minit berlepas akibat masalah enjin.
AirAsia enggan mengulas tentang insiden terbaru atau sebelumnya tetapi perniagaannya masih kelihatan baik dengan suku terbaru menunjukkan keuntungan bersih sebanyak RM615.81 juta walaupun 30% lebih rendah daripada suku sebelumnya disebabkan perbelanjaan lebih tinggi.
Bagaimanapun, hasil meningkat 31% kepada RM2.2 bilion berbanding RM1.7 bilion pada tempoh sama tahun lepas, didorong faktor muatan yang lebih kukuh.
Sementara itu dalam penyenaraian terbaru, airlineratings.com memberikan AirAsia X 6/7 bintang manakala syarikat penerbangan bajet itu diberikan kedudukan ke-29 dalam senarai 60 syarikat penerbangan teratas oleh JACDEC yang berpangkalan di Jerman.
Sebaliknya, Malaysia Airlines hanya menduduki tempat ke-56 dalam JACDEC dan memperoleh 5/7 bintang di airlineratings.com.
JACDEC, yang bermula pada 1989, menyediakan analisis keselamatan global mengenai penerbangan komersial. Ia mengumpulkan maklumat keselamatan mengenai 60 syarikat penerbangan terbesar yang diukur dengan prestasi pendapatan penumpang mereka.
Airlineratings.com menghadiahkan bintang berdasarkan sama ada syarikat itu disahkan IOSA (2 bintang), disenaraihitamkan Kesatuan Eropah (1), rekod kematian selama 10 tahun lalu (1), pengesahan FAA (1) dan jika negara asalnya mempunyai sijil ICAO (2).
Bintang akan ditarik jika syarikat penerbangan hanya mengendalikan pesawat binaan Rusia atau digantung pihak berkuasa keselamatan penerbangan negara.
IOSA adalah Audit Keselamatan Operasi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa manakala ICAO merujuk kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.
Sejak bermula pada November 1996, kumpulan AirAsia hanya mencatatkan satu kejadian melibatkan kematian iaitu penerbangan AirAsia Indonesia QZ8502 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember 2014.
QZ8502, yang terbang ke Singapura dari Surabaya, terhempas semasa cuaca buruk, membunuh 155 anak kapal dan tujuh anak kapal. – 2 Julai, 2017.

Komen