Sabah dapat 5 jawatan Kabinet tanda penghargaan PM, kata Shafie


Jason Santos

ADA tiga menteri dan dua timbalan menteri dari Sabah dalam Kabinetnya menunjukkan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memandang tinggi kepada rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

“Alhamdulillah. Saya ucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberi kepercayaannya kepada rakyat Sabah dan Parti Warisan Sabah,” katanya kepada wartawan selepas persidangan dewan undangan negeri di Kota Kinabalu hari ini.

“Kita ada tiga menteri penuh – timbalan saya dan dua ahli majlis tertinggi – dan juga dua timbalan menteri daripada Warisan.

“Saya tahu parti-parti di semenanjung juga menghantar nama, tetapi kita sekarang dapat lima jawatan. Ini menunjukkan betapa perdana menteri menghargai rakyat Sabah.”

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, pegerusi tetap Liew Vui Keong (menteri di Jabatan Perdana menteri portfolio undang-undang) dan ahli majlis tertinggi Mohammad Din Ketapi (menteri pelancongan dan kebudayaan).

Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman dilantik timbalan menteri dalam negeri, sementara ketua Wirawati Isnaraissah Munirah Majilis memegang jawatan timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi.

“Saya menasihati rakan parti saya supaya mereka melakukan tugas dengan baik untuk negara ini,” kata Shafie.

Beliau memberikan nama tujuh ahli Parlimen kepada Dr Mahathir untuk dipertimbangkan bagi jawatan Kabinet.

Bagi dua nama lagi, Shafie berkata:”Saya pasti mereka akan dapat tempat. Tunggu sedikit masa lagi.” – 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen