Kota kita, kota milik bersama


Badrul Hisham Ismail

IDEA ‘kota milik bersama’ berniat mengubah penghidupan dan pembentukan kota. Idea atau amalan pemilikan bersama ini disebut commons dalam istilah Bahasa Inggeris, dan ia bukan baru.

Idea ini muncul dalam pelbagai wacana. Namun dalam konteks Malaysia, ia masih dianggap asing. Dalam budaya Malaysia misalnya, hak awam tidak wujud, semuanya barangkali milik atasan. Kerana itu, sukar mencari kata asal Bahasa Malaysia untuk commons. Namun, ini tidak bermakna idea dan amalan ini tidak dapat digunakan di sini.    

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘milik bersama’?

Secara ringkas, milik bersama boleh dikatakan sebagai sesuatu yang saling kita perlukan untuk menjalani kehidupan yang sejahtera. Menurut pemikir dan aktivis David Bollier. ada beberapa perkara harus diambil kira sebagai ciri-ciri commons, atau milik bersama.

Pertama, ia harus berbentuk sistem sosial berkenaan penjagaan sumber yang menjaga nilai-nilai dan identiti komuniti. Kedua, wujud satu sistem pengurusan mandiri di mana komuniti mengurus sumber daya tanpa campurtangan pemerintah dan pasaran. Ketiga, kekayaan yang diperturunkan atau dicipta haruslah diberi kepada generasi akan datang – dalam keadaan yang lebih bagus – termasuklah kekayaan sumber alami, infrastruktur, budaya, tradisi dan ilmu.

Sistem pengurusan mandiri tanpa campurtangan pemerintah dan pasaran harus saya garis bawahi. Sejujurnya, pemerintah tidak berperanan total dalam mementingkan kesejahteraan penghuni kota. Pembangunan pesat di kota-kota menjadi bukti. Jelas daripada pembangunan yang sedia ada itu, golongan mana yang beruntung, dan golongan mana yang rugi.

Lebih parah kepentingan peribadi melalui proses pasaran dan kapitalisme juga tidak menjanjikan pembelaan kepentingan awam. Pendekatan dualisme yang mengatakan kota serta sumber dayanya harus diurus oleh pemerintah atau pasaran adalah pendekatan lapuk dan tidak berjaya. Justeru pendekatan pengurusan bersama oleh komuniti wajib diusul, diusaha dan diangkat. Hanya dengan itu, barulah boleh kita isytiharkan yang kota kita adalah milik bersama.

Apabila kita mengatakan kota ini adalah milik bersama, itu termasuklah sumber-sumbernya yang berbentuk kebendaan dan niskala. Sumber kebendaan termasuklah yang diperturunkan seperti sumber alam, dan infrastruktur yang dibina. Manakala sumber niskala juga termasuk apa yang diwariskan seperti bahasa dan budaya, serta penemuan ilmu pengetahuan.

Setiap sumber ini haruslah dilihat sebagai hak milik bersama setiap penghuni kota, dan bukannya milik pihak atasan, atau hanya boleh dipakai oleh individu yang mampu membayar sahaja.

Mengapakah ia penting untuk kita ikrar bahawa kota kita adalah milik bersama?

Pertamanya, secara langsung, ia dapat memupuk sikap bertanggungjawab di antara penghuni kota, dengan itu ia akan mewujudkan pengurusan kota dan sumbernya yang lebih inklusif.

Sekiranya kita terpasung dengan pemikiran yang kota adalah milik atasan, atau pemerintah, kita akan sentiasa melepaskan tanggungjawab menjaga kota kepada mereka. Dan seperti yang telah saya nyatakan di atas, dan juga diketahui umum, pemerintah tidak harus secara total menjaga kepentingan penghuni kota.

Dari sudut lain pula, sebagai empunya kota, kita tidak akan membiarkan hak milik kita diperkotak-katikkan oleh pasaran. Kita mempunyai lebih suara dalam memastikan kemampuan kita untuk menghuni dan beraktiviti di dalam kota.

Selain itu, dengan menganugerahkan hak milik kota itu kepada keseluruhan penghuni, sebuah hubungan simbiotik dapat disemai di mana penghuni kota akan melihat kesejahteraan kota itu sebagai kesejahteraan mereka sendiri, kekuatannya sebagai kekuatan mereka, serta pemerkasaan setiap penduduknya sebagai pemerkasaan kota.

Hubungan ini juga mengetengahkan hak dan keperluan komuniti ke atas sumber daya kota, kerana kepentingannya kepada seluruh masyarakat. Kota itu sendiri boleh dianggap sebagai satu sumber yang penting dalam kehidupan masyarakat yang perlu dimiliki bersama. Ini bermaksud hak penghuni kota untuk terlibat dalam penggubahan dan penyusunan kota, untuk terlibat dalam proses membuat keputusan, serta penghuni kota mempunyai kuasa dalam menjaga sumber-sumber bersama yang diperlukan oleh semua.

Seperti yang pernah disebut Sheila R. Foster dan Christian Iaione, “setiap pemain peranan yang mempunyai kepentingan dalam commons merupakan sebahagian daripada pusat pembuat keputusan yang berautonomi, sebagai rakan sekutu atau rakan usaha sama, yang bergerak di bawah kuasa awam.” 

Kesejahteraan kita sebagai penghuni kota berkait rapat dengan kesejahteraan kota. Kualiti ruang awam sinonim dengan kualiti kehidupan kita, keselamatan awam adalah juga keselamatan kita. Oleh itu, kita harus mengubah peranan kita sebagai pemerhati pasif kepada pembentuk kota yang aktif. – 3 Julai, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen