INSPEKTOR yang bertanggungjawab menyiasat kehilangan aktivis Amri Che Mat akan memberi keterangan di hadapan panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Pegawai polis dari IPD Kangar, Khor Yi Shuen dipanggil semula untuk mendapatkan lebih maklumat berkenaan Amri yang hilang selepas keluar dari rumahnya pada November 2016.
Isteri Amri, Norhayati Ariffin mendakwa ketua polis Perlis Ab Rashid tahu tentang pembabitan Bukit Aman dan bekas ketua polis negara dalam penculikan suaminya kerana dikatakan menyebarkan ajaran syiah dan terbabit dalam perdagangan forex.
Pada April, panel itu diberitahu bahawa polis tidak menyiasat kemungkinan pembabitan gerakan anti Syiah di Perlis.
Peguam keluarga Amri, Razlan Hadri bertanya kepada Khor tentang menyiasat kemungkinan pembabitan kumpulan anti Syiah, Khor berkata beliau hanya mendapatkan maklumat berkenaan Syiah daripada Jabatan Agama Islam Perlis.
Khor berkata beliau tidak melakukan apa-apa kerana tidak mendapat maklumat lanjut.
Terdahulu, panel itu diberitahu Khor mengarahkan siasatan terhadap Amri dihentikan dan menyerahkan kes itu kepada Bukit Aman.
Panel hari ini dijangka mendengar keterangan DSP Azam Azhari dan pegawai Cawangan Khas yang bekerja di Perlis tetapi dipindahkan ke Terengganu.
Amri hilang pada 24 November, 2016. Beliau dipercayai diculik sekumpulan lelaki menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang mengepung keretanya di Kg Padang Behor, Perlis.
Suhakam mengadakan siasatan awam berkenaan kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth bagi memastikan mereka bukan kes kehilangan paksa. – 2 Julai, 2018.
The Malaysian Insight membawakan liputan langsung prosiding hari ini:
5.15 pm: Pensuruhjaya Aishah Bidin bertanya kepada Azam mengapa Shamzaini memberitahu namanya kepada Norhayati.
Azam berkata dia tidak tahu.
Pesuruhjaya Mah kemudiannya bertanya kepada Azam sama ada dia bertanya kepada Shamzaini mengapa namanya disebut.
Azam menjawab dia tidak mahu tahu.
Siasatan dihentikan dan akan bersambung esok.
5.05 pm: Peguam keluarga Amri, Muthiah Karupaya bertanya kepada Azam jika jabatannya menyediakan peralatan teknikal bagi operasi khas.
Azam menjawab dia tidak tahu mengenai operasi yang dijalankan kerana mereka hanya menyediakan peralatan.
Muthiah kemudian bertanya jika Azam menyediakan sebarang peralatan kepada Khor dan dia menjawab tidak.
4.50pm: Pegawai Suhakam kemudian bertanya sama ada dia mengenali Norhayati atau Shamzaini.
Azam berkata dia tidak mengenali Norhayati tetapi kenal Shamzaini.
Pegawai Suhakam kemudian memberitahu Azam bahawa Norhayati dalam laporannya mendakwa dia (Azam) mengenali Saiful dan tahu mengenai perjumpaan antara dia (Norhayati) dan Shamzaini.
Azam tidak bersetuju dengan laporan Norhayati.
“Saya nafikan semua perkara dalam laporan dia. Saya tak kenal dia.”
4.40pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Azam di jabatan manakah dia ditempatkan di IPK Perlis.
Azam berkata dia bertugas di jabatan pentadbiran dan teknikal.
“Saya terlibat dalam pentadbiran mengenai kebajikan polis seperti hal cuti dan sebagainya.
“Dari segi teknikal pula saya ditugaskan untuk menjaga peralatan seperti kamera, video dan walkie talkie”
Pegawai Suhakam bertanya kepada Azam sama ada dia tahu pemilik Vios berwarna emas.
Dia menjawab tidak.
4.30pm: Panel memanggil pegawai Cawangan Khas DSP Azam Azhari ke kandang saksi.
Pegawai Suhakam bertanya kepada Azam berapa lama dia bertugas sebagai anggota polis.
Azam berkata sudah 15 tahun.
Katanya lagi, dia berkhidmat di IPK Perlis dari 2014 hingga 2017.
Pegawai Suhakam bertanya jika dia terlibat dalam sebarang kes, siasatan, atau pengawasan ke atas Amri.
Azam berkata dia tidak terlibat.
3.50 pm: Nizam bertanya kepada Khor jika dia ada memeriksa lokasi telefon bimbit Norhayati dan Shamzaini semasa perjumpaan mereka pada 12 Mei.
Nizam berkata lokasi tepat boleh ditentukan melalui pemeriksaan data.
Khor menjawab dia belum lagi membuat pemeriksaan.
Pesuruhjaya Mah Weng Kwai kemudian meminta Khor memeriksa data lokasi Norhayati, Shamzaini dan Saiful.
Peguam keluarga Amri, Kay Moy bertanya kepada Khor berapa banyak pintu masuk dan keluar di Pulapol dan kamera CCTV di situ.
Khor berkata ada tiga pintu masuk dan keluar namun dia tidak pasti sekiranya terdapat kamera CCTV.
Jay bertanya jika Khor ada memeriksanya, dan dia menjawab tidak.
Panel siasatan kemudiannya berhenti rehat.
3.35 pm: Peguam Amri, Nizam Bashir bertanya kepada Khor sekiranya dia memeriksa lokasi Saiful sebelum dan selepas kehilangan Amri dan apakah pergerakan Saiful boleh dijejaki.
Khor menjawab pergerakan Saiful boleh dijejaki tetapi dia tidak memeriksa lokasi lelaki itu.
Kemudian, Nizam bertanya jika Timbalan Supritendan Azam Azhari ada kaitan dengan kes ini.
Khor menjawab tidak.
3.20 pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Khor mengenai isteri Amri, Norhayati Ariffin yang membuat laporan polis pada 16 Mei.
Mereka juga bertanya jika Khor ada menyiasat mengenai laporan tersebut.
Kata Khor, dia ada menerima laporan Norhayati dan membuat siasatan.
“Saya mengambil kenyataan dari Norhayati dan anaknya Amira serta keluarga dan rakan Amri.”
Pegawai Suhakam juga bertanya sama ada Khor menerima laporan yang dibuat oleh pegawai Cawangan Khas Perlis Sarjan Shamzaini Mohd Daud.
“Ya, saya ada terima. Kedua-dua laporan itu bercanggah. Kami masih lagi mengambil keterangan.
Tiada perkembangan terbaharu dalam kes ini,” kata Khor.
3.05 pm: Pegawai Suhakam memberitahu Khor bahawa seorang saksi nampak kereta Vios berwarna emas di Perlis beberapa hari sebelum Amri hilang.
Khor menjawab, setahunya kereta itu berada di Pulapol.
Kemudian pegawai Suhakam bertanya adakah kereta itu setiap hari berada di Pulapol, dan Khor menjawab dia tidak memeriksanya.
2.45 pm: Pegawai Suhakam menyoal Khor mengenai penglibatan Saiful dalam kes Amri.
Kata Khor, Saiful tidak terlibat kerana dia hanya bekerja di bahagian pentadbiran.
Khor juga ditanya jika Saiful ada ke Perlis dan Khor menjawab tidak.
Kemudian pegawai Suhakam bertanya jika kereta Saiful berada di Pulapol seminggu sebelum Amri hilang.
Khor menjawab ya.
2.30 pm: Pegawai Suhakam bertanya adakah Saiful seorang pegawai polis.
Khor menjawab tidak.
Kemudian pegawai bertanya adakah Saiful bekerja untuk pihak polis dan Khor menjawab lelaki itu bekerja sebagai kakitangan pentadbiran di Pulapol dan bersara pada Mei 2018.
Pegawai Suhakam juga bertanya jika Khor menyoal siasat Saiful dan dia menjawab mereka menyoal Saiful mengenai kereta Viosnya.
“Kami menyoal Saiful dan dia memberitahu keretanya tiada di Perlis ketika kejadian.
“Kami tiada bukti langsung.”
2.15 pm: Panel memanggil Inspektor Khor Yi Shuen dari IPD Kangar memberi keterangan.
Pegawai Suhakam menanyakan mengenai tertimoni Khor pada 2 April berkenaan pemilik kenderaan Vios berwarna emas yang dikaitkan dengan kes Amri.
Khor berkata kenderaan itu tiada kena mengena dengan kes Amri.
Pegawai Suhakam bertanya kepada Khor siapakah pemilik kenderaan Vios itu dan Khor menjawab melalui semakan sistem, pemiliknya ialah Saiful Bahari. – 2 Julai, 2018.
Komen