MALAYSIA akan meneliti dan mengumpul maklumat mengenai dakwaan terbaru melibatkan pembunuhan dan penyiksaan etnik Rohingya di Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamid.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Luar Anifah Aman untuk mendapatkan butiran terperinci dan usaha lanjutan yang dilakukan oleh Wisma Putra dan meneliti laporan baru yang berlaku di Myanmar.
“Dan kita akan mengambil tindakan kemanusiaan dan juga tindakan diplomatik mengikut nasihat (yang) Anifah beri,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan wartawan mengenai tindakan Kaunselor Negara Myanmar yang menghalang Persatuan Bangsa Bersatu (PBB menyiasat dakwaan pembunuhan, pemerkosaan dan penyiksaan etnik Rohingya oleh pasukan keselamatan.
Aung San Suu Kyi dilaporkan Reuters tidak akan bekerjasama dengan misi yang ditubuhkan bersama resolusi Majlis Hak Asasi Manusia yang diluluskan pada Mac.Lebih 75,000 Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh lewat tahun lalu selepas askar Myanmar menjalankan operasi keselamatan.
Ia merupakan serangan balas pemberontak Rohingya yang membunuh sembilan polis sempadan.
Laporan PBB Februari lalu, berdasarkan kepada temubual beberapa pelarian Rohingya, berkata respons askar Myanmar itu melibatkan pembunuhan besar-besaran dan pemerkosaan beramai-ramai entik Rohingya, dan “kemungkinan besar” menyamai jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik. – 1 Julai 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bujang Sigandam · Ulasan