PUTRAJAYA tidak akan melanjutkan tarikh akhir 30 Jun bagi pendaftaran pekerja asing, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, malah tindakan keras terhadap pekerja asing tanpa izin (Pati) sudahpun bermula awal pagi ini.
Menurut beliau, berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan permintaan mana-mana badan NGO majikan yang meminta lanjutan.
“Tindakan tegas terpaksa kami lakukan kerana Ketua Pengarah Imigresen Mustapa sudah memberikan beberapa kali amaran dan saya tidak fikir amaran harus dikeluarkan lagi dan lanjutan dilakukan.
“Walaupun hanya 23% daripada Pati memohon e-Kad tapi tindakan tegas ikut akta Imigresen terpaksa dilakukan.
“Kita memberikan beri tempoh secukupnya pada mereka. Jika ada majikan atau persatuan majikan memohon lanjutan, saya tidak fikir perkara itu boleh dilakukan dan tindakan tegas menanti mereka,” katanya pada sidang media di Majlis Terbuka Hari Raya di Putrajaya.
Tegas menteri bagi Kementerian Dalam Negeri itu, majikan dan pekerja seharusnya bertanggungjawab mendaftar E-Kad agar mereka boleh meneruskan mencari punca pendapatan dalam negara.
“Mereka (Pati) berada di negara ini kerana berhajat cari rezeki. Kami tidak sekat kalau mereka mencari secara halal.
“Kita tidak menyalahkan sesiapa tetapi majikan harus bertanggungjawab. pekerja juga harus bertanggungjawab jika mengetahui mereka tidak punyai visa bekerja.
Hari ini, Jabatan Imigresen melaksanakan operasi gempur besar-besaran di seluruh negara bagi mengesan Pati selepas tamat tempoh E-Kad pada 30 Jun.
Pihak Imigresen kecewa dengan sikap berlengah majikan yang tidak membuat pendaftaran dengan lebih awal walaupun program tersebut dilancarkan sejak 15 Februari lalu.
Statistik terkini mencatatkan hanya 23% iaitu 155,680 Pati dengan 26,957 majikan membuat permohonan dan sebanyak 140,746 E-Kad dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal iaitu 600,000 Pati. – 1 Julai 2017.
Komen