Kerajaan persekutuan tidak akan menaikkan kadar tarif elektrik sehingga hujung tahun ini.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Dr Maximus Ongkili berkata kerajaan mengekalkan rebat tarif elektrik 1.52 sen/kWJ di Semenanjung dan 1.20 sen/kWJ di Sabah/Labuan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember.
“Ini berita baik untuk rakyat Malaysia selepas sambutan Aidilfitri,” katanya.
Bagaimanapun, pengguna di Taman Teknologi Kulim di Kedah akan dikenakan kadar berbeza, dengan kadar baharu akan diumumkan tidak lama lagi.
Ongkili berkata kerajaan persekutuan akan membelanjakan RM468 juta di Sabah dan RM1.303 bilion di semenanjung untuk subsidi khas bagi menyerap kos minyak dan kos berkaitan lain.
Ongkili berkata peruntukan RM1.3 bilion itu daripada Rundingan Semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Kuasa Bebas (IPP).
“Pengguna di semenanjung akan menikmati rebat 2.54 sen/kWh, termasuk surcaj bahan api 1.02 sen/kWh dan rebat tarif 1.52 sen/kWh, dan semuanya dengan menggunakan dana PPA bagi tempoh Julai hingga Disember 2017.
“Di Sabah dan Labuan, rebat elektrik ialah 1.2 sen/kWh,” katanya.
Ongkili berkata pengubahsuaian tarif di bawah Mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan yang membolehkan pengguna menikmati rebat keseluruhan RM5.4 bilion di semenanjung, dan RM196 juta di Sabah dan Labuan sepanjang tempoh Mac 2015 hingga Disember 2017. – 30 Jun, 2017.
Komen