BEKAS pensyarah universiti Dr Mahmud Ahmad yang dipercayai berjaya meloloskan diri daripada pasukan tentera Filipina menentang militan IS di bandar Marawi, bukan saja sangat pandai membuat bom tetapi juga seorang pelaut hebat, kata pakar anti keganasan.
Sumber berkata Mahmud yang juga bertanggungjawab merekrut militan untuk kumpulan pengganas itu, mungkin melarikan diri menggunakan laluan rahsia.
“Mereka (Dr Mahmud dan ahli kumpulan pemberontak) dan Isnilon Hapilon tahu jalan keluar masuk lebih baik berbanding tentera Filipina.
“Terlalu banyak jalan rahsia di laut yang boleh diambil. Mereka sudah lama merancang semua ini,” kata pakar itu.
Isnilon Hapilon ialah militan veteran Filipina dipercayai mengetuai IS di Asia Tenggara.
Beliau sebelum ini pemimpin Abu Sayyaf, kumpulan militan kejam berpangkalan di Mindanao yang aktif melakukan penculikan.
Setakat ini AS$5 juta (RM21.4 juta) ditawarkan pada sesiapa yang berjaya membunuh Hapilon.
Selain pakar membuat bom dan hebat di laut, laporan risikan menunjukkan Mahmud juga seorang yang mahir dalam beberapa dialek digunakan militan Filipina dan fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Arab.
Pakar percaya Mahmud ialah salah seorang individu berkemahiran tinggi yang bakal bertanggungjawab terhadap operasi IS di wilayah ini, jika Hapilon tiada.
“Dia orang yang bijak,” sumber itu.
Mahmud juga mempunyai hubungan rapat dengan seorang lagi pemimpin tinggi dalam rangkaian IS di wilayah ini, Amin Baco.
Associated Press baru-baru ini melaporkan Mahmud dipercayai terbunuh dalam satu pertempuran di Marawi.
Agensi berita itu memetik ketua tentera Filipina Jeneral Eduardo Ano sebagai berkata Mahmud tercedera dalam pertempuran dan meninggal dunia pada 7 Jun.
Bagaimanapun, pakar percaya semua laporan mengenai kematian Mahmud tidak benar kerana baru-baru ini imej dirinya dapat dikesan menunjukkan dia dalam keadaan sihat.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada 25 Jun menolak khabar angin kematian Mahmud kerana maklumat yang diterima mendedahkan Mahmud masih hidup dan mungkin sudah melepaskan diri dari Marawi bersama Hapilon.
“Berita kematiannya mungkin hanya taktik untuk mengalihkan perhatian pihak berkuasa. Tetapi pihak berkuasa Malaysia sangat berhati-hati. Mereka tidak akan menerima pengisytiharan kematiannya sehingga ada bukti kukuh.
“Itu sebabnya ketika Wanddy Mohamad Jedi meninggal dunia, kerajaan mengambil masa lama sebelum mengesahkannya,” kata sumber.
Mahmud dikatakan menyalurkan lebih 30 juta peso dari IS untuk memperoleh senjata api dan bekalan lain untuk menyerang di Marawi.
Dia dipercayai berada sama ada di Sulawesi, pulau Indonesia di timur Borneo, atau mungkin di Sabah, kata sumber.
FAKTA
Nama: Dr Mahmud Ahmad
Lahir: September 1978
Umur: 39
Status: Masih hidup/berkahwin
Pendidikan
1. Ijazah sarjana muda, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
2. Ijazah sarjana UIAM
3. PhD, Universiti Malaya (UM) (Akidah dan Pemikiran Islam)
Pekerjaan
Bekas pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UM
Pembabitan awal dalam aktiviti militan
Mahmud dikatakan menyertai kem latihan Al-Qaeda ketika belajar di Pakistan pada 1990-an sebelum pulang ke tanah air.
Selepas pulang, dia menubuhkan pusat tahfiz di Kampung Nakhoda, Gombak, Selangor. Dia juga mengasaskan kumpulan militan Arakan Daulah Islamiah (ADI). ADI ialah kumpulan militan kecil dengan 10 ahli pelbagai latar belakang.
Mahmud mempunyai dua anak murid yang juga orang kanannya iaitu Muhammad Joraimee dan Mohd Najib Husen.
Mereka lari ke selatan Filipina selepas polis menjejaki mereka pada 2014. Mereka dipercayai memulakan kem latihan militan dari negara Asia Tenggara lain sebagai persediaan sebelum ke Syria.
Pembantu Mahmud, Najib terbunuh pada 2015 di Basilan ketika merancang melancarkan serangan bom di gereja pada Krismas tahun itu. Juraimee juga terbunuh dalam serangan tentera di kem mereka.
Nama: Amin Baco
Lahir: January 1983
Umur: 34
Status: Masih hidup/berkahwin
Pembabitan dalam aktiviti militan
Dia terbabit dalam serangan terhadap Kristian di Poso, Indonesia pada 2001. Pada 2004 dia melahirkan hasrat untuk menjadi pengebom berani mati.
Dia menjalani latihan perang di selatan Filipina dua kali pada 2005 dan 2006.
Pada masa ini dia berjuang bersama kumpulan Abu Sayyaf.
Khabar angin mengatakan dia di Marawi, tetapi tidak ada bukti sokongan untuk membuktikan kehadirannya di situ. – 30 Jun, 2017.

Komen