IA bukanlah lagi satu krisis tetapi akar umbi PAS mula menerima isyarat bercampur baur daripada dua pemimpin tertinggi mereka berhubung siapakah sekutu menjelang Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14) nanti.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kini sedang menjalani proses pemulihan daripada pembedahan pintasan jantung mahu bekerjasama dengan Umno.
Bagi memastikan PAS memenuhi hasrat ini, beliau meletakkan pemimpin yang sehati sejiwa dengannya dalam barisan kepimpinan utama sebelum memasuki dewan bedah Institut Jantung Negara (IJN) bulan lepas.
Hadi yang percaya pengekalan kuasa politik Melayu lebih penting daripada segalanya juga menjadi pembodek utama kerajaan dalam kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal terbesar negara sejak merdeka 1957.
Bertentangan sama sekali dengan seorang lagi pemimpin utama PAS, pemangku presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu muncul sebagai di antara pengkritik terlantang skandal 1MDB.
Beliau juga bimbang parti Islam itu akan kehilangan asetnya yang paling berharga, Kelantan pada PRU14 akan datang sekiranya PAS meneruskan rancangan untuk memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau juga percaya pertembungan tiga penjuru di Pantai Timur akan membawa bencana kepada PAS.
Disebabkan itu dalam cubaan mengurangkan risiko kehilangan Kelantan, timbalan presiden PAS itu cuba menjalinkan hubungan dengan PKR dan Bersatu walaupun terus bermusuh dengan Amanah dan DAP.
Strategi ini menerima sokongan pemimpin akar umbi PAS yang lebih gemarkan idea bekerja dengan pembangkang dan tidak boleh menerima kenyataan parti Islam itu cuba berbaik-baik dengan Umno -musuh tradisi mereka selama ini.
Semua tindakan Hadi dan Tuan Ibrahim sedang diperhatikan dan dibaca penyokong dan mereka yang setia kepada PAS.
Sebelum pembedahannya, Hadi yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 6 Mei merombak struktur parti bagi memastikan rancangannya bekerjasama dengan Umno berjalan lancar.
Dalam mesyuarat itu, beliau melantik setiausaha politiknya Dr Samsuri Mokhtar sebagai ketua pengarah pilihan raya bagi menggantikan ahli politik veteran Mustafa Ali.
Iskandar Samad, dilucutkan jawatan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor kerana hubungan kerja yang rapat dengan PKR terutama dengan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Dalam usaha memperkukuhkan ikatan kewangan antara PAS dan Umno, Pesuruhjaya Perak Razman Zakaria dilantik sebagai bendahari parti yang baharu.
Tidak sampai sebulan kemudian, pemangku presiden parti Tuan Ibrahim melantik kembali Mustafa bersama tiga pemimpin veteran lain ke dalam satu badan baharu yang dibentuknya.
Mustafa dilantik sebagai pengerusi lembaga penasihat PAS bersama-sama Dr Sanusi Daeng Mariok, Abdul Halim Abdul Rahman dan Subky Latif.
“Namun, pelantikan semula Mustafa dalam kepimpinan PAS melalui lembaga penasihat akan menyebabkan imbangan kuasa berlaku semula dalam PAS.
“Ini kerana Mustafa selama ini yang berusaha untuk bekerjasama dengan pembangkang khasnya PKR dan Bersatu ketika Hadi dilihat bekerjasama dengan Umno,” kata penganalisis politik Hisomuddin Bakar.
Hisomuddin merupakan pengarah eksekutif kepada sebuah badan kajian bebas Ilham Centre.
Akan tetapi Tuan Ibrahim tersilap sekiranya merasakan keadaan sudah memihak kepadanya.
Pengarah Institut Pengajian Strategik PAS (IPS) Dr Khairudin Aman Razali baru-baru ini mengambil alih jawatan itu daripada Dr Khazani Mohamad yang meninggal dunia.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu memecat tiga pemimpin badan pemikir PAS itu, Zaharudin Mohamad, Dr Zainal Abidin Kidam dan Dr Nazri Chik yang lantang bersuara menentang kerjasama dengan Umno.
Khairudin dinamakan pemimpin Bersatu sebagai salah seorang daripada lima pemimpin utama PAS yang kuat menentang mana-mana cubaan bekerjasama dengan parti diketuai Dr Mahathir Mohamad itu.
Seperkara lagi, Majlis Syura Ulama PAS yang sangat berkuasa itu masih dalam kawalan Hadi.
Majlis Syura Ulama PAS inilah yang pada Mei lalu secara rasmi memutuskan semua kerjasama politik dengan PKR.
Keputusan yang mengejutkan banyak pihak termasuk Azmin, menteri besar Selangor merangkap timbalan presiden PKR.
Sedangkan sebelum pengumuman itu, Tuan Ibrahim dan Mustafa memberikan jaminan kepada Azmin yang PAS tidak akan memutuskan hubungan dengan PKR sekurang-kurangnya sehingga PRU 14.– 30 Jun, 2017.
Komen