SEHARI selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan membantah skandal 1MDB, PAS mendesak Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat syarikat sarat hutang itu.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata, parti Islam itu dan sekutunya dalam Gagasan Sejahtera (Gagasan) akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lama lagi.
“Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan segera untuk merealisasikan sebuah siasatan yang tidak berpihak,” kata ahli Parlimen Temerloh itu dalam satu kenyataan hari ini.
“PAS konsisten atas apa jua dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan salah laku, justeru ia mestilah disiasat satu badan siasatan yang profesional dan telus.”
Katanya, kerajaan perlu menunjukkan ketelusan sekali gus membina keyakinan rakyat terhadap agensi seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Peguam Negara dalam menyiasat serta mengambil tindakan kepada pihak terlibat dengan skandal 1MDB.
“PAS melahirkan kebimbangan dengan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.”
Gagasan terdiri daripada PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang dipimpin bekas menteri Kabinet Kadir Sheikh Fadzir.
Gagasan sebelum ini dikenali sebagai blok kuasa ketiga.
Selepas Putrajaya menubuhkan RCI untuk menyiasat kerugian urusniaga matawang asing semasa pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, PH turut mendesak Putrajaya menubuhkan RCI bagi menyiasat 1MDB.
Semalam Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan perhimpunan rakyat pada September sebagai protes terhadap skandal 1MDB susulan langkah terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3bilion) yang didakwa dicuri daripada syarikat sarat hutang itu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menggesa semua parti pembangkang termasuk PAS untuk mengetepikan segala perbezaan dan bekerjasama membawa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.
Dalam reaksi segeranya Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu The Malaysian Insight partinya akan berbincang mengenai jemputan Dr Wan Azizah dan akan mengeluarkan kenyataan dalam jangkamasa terdekat.
Bagaimanapun Nasrudin berkata hari ini PAS mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi dan hala tuju perjuangannya.
“Tidak terikat dengan mana - mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri,” katanya.
“Berhubung isu 1MDB, PAS mengambil penyelesaian yang bersifat fundamental dengan usaha membetulkan urus tadbir negara, mengembalikan sistem pemisahan kuasa dan membenteras politik wang.”
Beliau berkata, PAS tegas menolak kaedah pengurusan kewangan 1MDB yang bercanggah dengan syariat Islam seperti mendapatkan modal dengan cara pinjaman berunsur “riba”. – 29 Jun, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Mohamad Shafie · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bujang Sigandam · Ulasan