AS boleh guna tentera, bukannya saman untuk jatuhkan kerajaan, kata DAP


Looi Sue-Chern

Saman terbaru DoJ itu menarik perhatian banyak pihak apabila menyenaraikan barang kemas yang didakwa diterima isteri MO1. Identiti MO1 sebelum ini disahkan Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar EPA, 29 Jun, 2017.

AMERIKA Syarikat boleh menggunakan tindakan ketenteraan dan tidak perlu memfailkan saman sivil di negara sendiri sekiranya mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia, kata DAP hari ini.

Setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng berkata Umno dan PAS hanya mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang saman Jabatan Kehakiman AS (DoJ) untuk merampas aset yang dibeli didakwa menggunakan wang rompakan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah kerana ingin menjatuhkan kerajaan dan “campur tangan kuasa asing dalam urusan dalaman Malaysia”.

Katanya lagi, Umno dan PAS hanya ingin menutup skandal itu dan mengalihkan perhatian daripada kleptokrasi dan dakwaan rompakan berbilion ringgit daripada syarikat sarat hutang negara itu.

“Siasatan berhubung dakwaan penggubahan wang haram melibatkan dana itu dilakukan di AS, bukan di Malaysia. Tindakan yang diambil ke atas aktiviti haram itu dilakukan di AS, yang melanggar undang-undang Amerika.

“Saman sivil itu difailkan di AS, bukan di Malaysia. Jangan cuba kelirukan rakyat. Jika AS mahu mengawal Malaysia, ia mempunyai kuasa ketenteraan untuk berbuat begitu,” katanya semasa sidang media di Pulau Pinang hari ini.

DoJ memfailkan saman terbaru dan yang ketiga berkaitan skandal 1MDB awal bulan ini, bermatlamat untuk mendapatkan kembali aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion), termasuk karya seni, barang kemas dan hak filem, semuanya didakwa dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada 1MDB.

Saman itu menarik tumpuan ramai kerana antara barangan yang disenaraikan DoJ untuk dirampas termasuklah hadiah yang diberikan kepada beberapa selebriti seperti Leonardo DiCaprio dan model terkenal Miranda Kerr.

DiCaprio dan Kerr sudah menyerahkan kembali hadiah yang mereka terima daripada ahli perniagaan Jho Low, yang turut dinamakan dalam saman itu bersama-sama dengan anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz.

Saman itu turut menyebut yang hampir AS$30 juta (RM128.7 juta) yang didakwa dirompak daripada 1MDB digunakan untuk membeli barang kemas mewah termasuk set rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta untuk isteri “Malaysian Official 1” pada 2013.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan yang MO1 merujuk kepada Najib. Walaupun begitu, saman terbaru DoJ itu tidak menyenaraikan set rantai berlian merah jambu dalam senarai barangan yang akan dirampas.

Pemimpin dan menteri Umno berulang kali mengulangi yang saman DoJ itu ialah campur tangan kuasa asing yang didalangi pembangkang.

Awal minggu ini, Peguam Negara Mohamaed Apandi Ali turut menyifatkan saman DoJ itu sebagai ada motif politik.

Lim yang juga merupakan ketua menteri Pulau Pinang berkata, pendirian yang diambil mereka yang menyokong pentadbiran BN sebagai “salah, terpesong dan melampau”.

“Aduan DoJ mengatakan lebih daripada AS$4.5 bilion didakwa disalah guna pegawai tertinggi Malaysia dan sekutu mereka.

“DiCaprio dan Kerr sudah memulangkan hadiah mereka. Hanya mereka yang berada di Malaysia masih tidak berbuat demikian. Mereka bercakap soal moral tetapi mereka tidak memulangkan barangan yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada dana 1MDB,” katanya lagi.  

Lim juga menegaskan yang skandal yang meraih liputan meluas media antarabangsa turut mempunyai kesan besar kepada Malaysia dan ekonomi negara ini.

“Ini ialah skandal yang mengontangkan dana kita, menyebabkan kerajaan pusat melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup,” tambahnya lagi. – 29 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen