Pengasas JJPTR hilangkan diri, rakyat Taiwan buat laporan polis


Looi Sue-Chern

Pengasas JJPTR Johnson Lee sebelum ini ditahan reman untuk membantu siasatan kerana dakwaan menipu di Selangor, Pulau Pinang dan Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2017.

SEORANG rakyat Taiwan membuat laporan polis terhadap pengendali permainan wang JJPTR (JJ Poor to Rich), mendakwa yang dia mewakili 50 pelabur lain yang kini bimbangkan kerugian pelaburan mereka.

Pelabur itu memutuskan untuk membuat laporan polis selepas pengasas JJPTR, Johnson Lee, menghilangkan diri tanpa dapat dikesan selepas dia dibebaskan daripada tahanan polis lebih sebulan lalu.

Laman sesawang rasmi JJPTR www.jjptr.com sudah tidak dapat dimasuki, sementara akaun Facebook rasminya @jjpoor2rich sudah tidak dikemas kini sejak catatan terakhir pada 8 Mei lalu yang menunjukkan gambar perpindahan wang kepada sesetengah pelabur.

Ketua Polis Pulau Pinang Pesuruhjaya Chuah Ghee Lye berkata yang laporan tebaru itu serupa dengan laporan sebelum ini terhadap JJPTR yang dilakukan di Jelutong.

“Kami sudah memulakan penyiasatan. Siasatan itu kemudian diambil alih Bukit Aman untuk menjalankan siasatan lebih mendalam.

“Dengan laporan terbaru ini, kami akan meluaskan siasatan. Bukit Aman akan memantau dan memberikan bantuan, sekiranya kami perlukan kepakaran teknikal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chuah mengesahkan yang siasatan masih dilakukan di bawah Seksyen 420 kerana menipu tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai kes itu kerana siasatan masih dilakukan.

“Jika kami menjumpai asas untuk membuat dakwaan, kami akan buat dakwaan di Pulau Pinang berdasarkan laporan itu,” katanya.

JJPTR mencuri tumpuan pada April selepas pengasasnya, Lee, 28, mendakwa akaun perdagangan forex syarikatnya digodam menyebabkan kerugian lebih RM1.7 bilion.

JJPTR mendakwa terlibat dalam perdagangan forex. Ahli melabur antara AS$25 sehingga AS$1,000 untuk pulangan bulanan sebanyak 20%.

Lee berikrar untuk membayar kembali pelabur yang hilang wang dalam skim perdagangan forex itu secara berperingkat, dan untuk menyerahkan kembali duit pelaburan kepada pelabur baru yang wang mereka masih belum didagangkan.

Hanya sebilangan pelabur menerima kembali wang mereka, kerana usaha itu “terganggu” apabila Lee ditahan polis pada 16 Mei di Petaling Jaya bersama-sama dua pembantunya dan disiasat kerana dakwaan menipu.

Penahanan itu susulan serbuan yang dilakukan polis, Bank Negara Malaysia dan beberapa agensi penguatkuasa pusat di ibu pejabat dan premis JJPRT pada 12 Mei di Pulau Pinang. Pihak berkuasa juga membekukan lima akaun bank JJPTR.

Pada 19 Mei, The Star memetik sumber polis yang mengatakan jutaan ringgit mungkin dipindahkan ke luar negara, dan mereka juga tidak menemui sebarang kesan yang komputer JJPTR digodam dan bukti terlibat dalam aktiviti perdagangan forex.

Lee dan pembantunya ditahan reman untuk siasatan di Klang di Selangor, Bukit Mertajam di Pulau Pinang, Taiping di Perak sebelum dibebaskan pada 23 Mei. Sejak itu dia tidak lagi dapat dihubungi.

Sebelum penahanannya, Lee menggunakan Facebook untuk memberitahu perkembangan terkini situasi dan usaha mengembalikan semula pelaburan kepada pelaburnya. Dia juga mengumumkan skim baru bagi menggantikan skim forex lama.

Tetapi kini satu-satunya aktiviti di akaun Facebook itu ialah catatan kemarahan individu yang mengecam JJPRT dan meminta wang mereka dikembalikan.

Isnin lalu, The Malaysian Insight menghubungi ayah Lee, Dr Lee Thean Chye, bekas profesor madya di salah sebuah kolej swasta di Johor tetapi dia enggan mengulas lanjut.

“Tiada. Tiada komen,” katanya apabila ditanya jika ada perkembangan dalam kes anak lelakinya itu. – 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen