PEGUAM Negara Mohamed Apandi Ali pernah menolak permintaan Jabatan Peguam Negara Switzerland untuk mendapatkan maklumat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Tony Pua.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Apandi semalam yang mengatakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) tidak pernah meminta maklumat dan penjelasan dari pejabatnya.
“Dulu, peguam negara Switzerland minta dari Malaysia, ditolak peguam negara. Jadi apa yang beliau cuba perkatakan?
“Dia menolak, jadi kenapa dia mengadu DoJ tidak minta kebenaran Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam Apandi berkata saman sivil dikemukakan DoJ untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana dicuri daripada 1MDB bermotifkan politik.
Apandi berkata ini kerana DoJ tidak pernah secara rasmi meminta maklumat atau penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara.
“Jika mereka meminta, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu. Kerana itu, saya membuat kesimpulan yang ia ada motif politik.
“Tindakan DoJ juga dipercayai berasaskan maklumat diberi beberapa individu dari Malaysia,” katanya dipetik Bernama.
Pua berkata DoJ tidak perlu meminta bantuan Malaysia kerana “jenayah kewangan” itu dilakukan di AS.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad meminta Apandi tidak mempolitikkan isu saman terbaru DoJ itu.
“Dia (Apandi) tahu apa yang sebenarnya dimaksudkan. Jangan nak beri jawapan politik.
“Jangan peguam negara nak politikkan isu ini,” katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam. – 28 Jun, 2017.
Komen