KERAJAAN Persekutuan tidak terlibat dalam tindakan beku akaun parti pembangkang yang dipercayai menerima wang daripada syarikat sarat hutang negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, tindakan beku itu ada kaitan dengan siasatan sedang dilakukan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bebas.
“Tidak ada campur tangan politik terlibat. Siasatan ke atas skandal 1MDB bebas.
“Tetapi kerajaan mahukan semua wang rakyat yang disalah guna perlu dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Pakatan Harapan (PH) Sabah di Tawau hari ini.
Wan Azizah berada di majlis itu menggantikan suaminya, Ketua Umum PKR dan PH Anwar Ibrahim yang sedang berehat kerana kecederaan leher dan bahu setelah pulang dari lawatan ke Turki 23 Jun lalu.
Turut hadir ialah Pengerusi PH Sabah yang juga Ahli Parlimen Tawau Christina Liew, Timbalan Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmut dan Adun Inanam Kenny Chua.
Siasatan penyelewengan dana negara 1MDB kini sudah memasuki Umno ketika penyiasat berusaha mengesan jejak wang berbilion dolar yang dirompak daripada dana pelaburan negara itu.
SPRM sudah membekukan hampir 900 akaun yang dipercayai ada kaitan dengan skandal kleptokrat terburuk disaksikan dunia itu, antara yang dibekukan termasuklah akaun Umno pusat, Umno Selangor dan SUPP.
Presiden Umno baharu dilantik Ahmad Zahid Hamidi akan memberikan keterangan kepada SPRM esok berkaitan tuduhan penggunaan dana yayasan untuk membayar hutang kad kreditnya dan isteri mencecah RM800,000, tetapi setakat ini masih tidak dapat dipastikan sama ada pertemuan esok juga akan melibatkan siasatan 1MDB.
Dalam isu berlainan, Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan berusaha sehabis baik melindungi dan menjaga kepentingan kanak-kanak berusia 11 tahun yang berkahwin dengan lelaki 41 tahun di Kelantan.
“Saya akan hubungi gadis itu esok dan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat, mahkamah Syariah dan agensi lain yang boleh buat sesuatu tentang kes itu.
“Kami mahu berbincang dan memastikan kepentingan gadis itu dilindungi. Ini penting dan kerajaan perlu buat apa sahaja untuk lindungi hak kanak-kanak,” katanya.
Kejadian itu mencetuskan kecaman hebat pelbagai pihak dalam dan luar negara termasuklah Unicef yang menyifatkan perkahwinan itu “mengejutkan dan tidak boleh diterima.” – 1 Julai, 2018.
Komen