Haramkan nikah bawah umur banjiri media sosial Malaysia


Melati A. Jalil

Kejadian terbaru melibatkan lelaki 41 tahun dan gadis sunti 11 tahun mencetuskan kecaman pelbagai pihak, yang mendesak kerajaan bertindak tegas mengharamkan perkahwinan bawah umur di Malaysia. – Gambar AFP, 1 Julai, 2018.

RAKYAT Malaysia menggunakan media sosial untuk menyuarakan kejelikan mereka terhadap isu perkahwinan melibatkan lelaki berusia 41 tahun dengan gadis sunti 11 tahun, mendesak kerajaan Pakatan Harapan serta merta berusaha menghapuskan perkahwinan bawah umur di negara ini.

Menggunakan hashtag #HaramkanNikahBawahUmur dan #EndChildMarriage, rakyat Malaysia sepakat mengatakan tidak ada sebarang alasan mahupun sebab yang bertitik tolak daripada agama atau aspek lain untuk membenarkan perkahwinan kanak-kanak.

Pengguna media sosial memberikan reaksi bercampur baur terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini yang berkata, kerajaan akan meminda Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam bagi meningkatkan had umur minimum pernikahan wanita beragama Islam di Malaysia daripada 16 kepada 18 tahun.

Buat masa kini, had umur minimum perkahwinan untuk lelaki Islam di Malaysia adalah 18 tahun dan untuk perempuan Islam adalah 16 tahun. Perkahwinan di bawah had umur itu perlu mendapat kebenaran hakim mahkamah Syariah.

Bagi bukan Islam pula, umur minimum berkahwin adalah 18 tahun untuk lelaki dan perempuan, kebenaran ketua menteri atau menteri besar diperlukan untuk perkahwinan di bawah had umur itu.

Pengkritik mengatakan “kepincangan” akta sedia ada membolehkan perkahwinan bawah umur berlaku dengan kebenaran pihak berkuasa dan usaha meningkatkan had umur perkahwinan tidak akan berjaya hapuskan fenomena itu sekiranya kepincangan ini tidak diatasi.

Perkahwinan bawah umur pasangan 41 tahun dan 11 tahun dari Kelantan itu pertama kali kecoh di media sosial selepas isteri kedua lelaki itu memuat naik catatan mengenai perkahwinan ketiga suaminya.

Lelaki itu membela tindakannya, berkata yang dia hanya mahu “membantu” gadis itu keluar daripada kemiskinan keluarga dan sudah meminta nasihat “pakar” sebelum berkahwin.

Bagaimanapun, alasan “membantu” lelaki itu juga dikecam pengguna media sosial.

Lelaki itu dilaporkan bernikah di Thailand tanpa kebenaran isteri pertama dan keduanya. Dia mendakwa pernikahan itu hanyalah nikah gantung dan dia masih tidak tinggal bersama kanak-kanak itu.

Gadis sunti 11 tahun yang dikenali sebagai Ayu itu memberitahu media yang perkahwinan itu dibuat atas kerelaannya, dan “suaminya” sudah bersetuju untuk membenarkan dia terus tinggal dengan ibu bapanya untuk tempoh lima tahun lagi.

Seorang pengguna Facebook, Arifah Alia berkata kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dianggap mempunyai kematangan pemikiran untuk membuat perjanjian kontrak yang sah dari segi undang-undang, ini termasuklah soal perkahwinan.

“Kerana itulah kita perlu menjadikan perkahwinan kanak-kanak satu jenayah di Malaysia.

“Kanak-kanak bawah umur perlu mendapat pendidikan dan bersuka ria dengan kanak-kanak sebaya mereka. Perkahwinan kanak-kanak menafikan kebebasan dan hak mereka untuk hidup sebagai kanak-kanak.” – 1 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen