Tiada tolak ansur untuk perkahwinan kanak-kanak, kata Suhakam


Melati A. Jalil

Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata suruhanjaya bimbang undang-undang sedia ada yang membenarkan hakim mahkamah Syariah atau ketua menteri memberi kebenaran perkahwinan seumpama itu diadakan akan terus menggalakkan keganasan seksual terhadap kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2018.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata semua pemimpin politik dan agama, termasuklah hakim mahkamah Syariah yang terus menyokong atau membenarkan perkahwinan bawah umur perlu dipertanggungjawabkan dan kerajaan perlu melaksanakan dasar “sifar tolak ansur” terhadap amalan itu.

Pengerusinya Razali Ismail berkata suruhanjaya bimbang undang-undang sedia ada yang membenarkan hakim mahkamah Syariah atau ketua menteri memberi kebenaran perkahwinan seumpama itu diadakan akan terus menggalakkan keganasan seksual terhadap kanak-kanak.

“Suhakam tak fikir usaha mencukupi dilakukan untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dan percaya sifar tolak ansur kepada perkahwinan kanak-kanak perlu dilaksanakan di setiap lapisan masyarakat.

“Suhakam menggesa hakim mahkamah Syariah/ pihak berkuasa yang terus memberi kebenaran perkahwinan kanak-kanak untuk berhenti berbuat demikian dan perlu dipertanggungjawabkan kerana amalan yang mengejutkan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini menyertai pelbagai pihak mengecam kejadian terbaru apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan.

Razali berkata, buat masa sekarang, justifikasi agama digunakan untuk menyokong undang-undang itu dijadikan sebagai alasan untuk mengaburi kecenderungan pedofilia dan pemangsa seksual kanak-kanak yang mengahwini kanak-kanak atau mangsa mereka.

“Suhakam menegaskan yang tidak ada justifikasi untuk perkahwinan kanak-kanak dan berpegang teguh apabila melibatkan amalan agama, ia tidak boleh mengatasi hak asasi kanak-kanak, dan kepentingan terbaik kanak-kanak perlu jadi keutamaan,” katanya.

Had minimum perkahwinan untuk orang Islam di Malaysia ditetapkan pada 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun untuk wanita. Bagaimanapun, perkahwinan di bawah usia tersebut masih dibenarkan jika mendapat kebenaran hakim mahkamah Syariah.

Bagi bukan Islam pula, usia minimum berkahwin adalah 18 tahun untuk lelaki dan wanita, tetapi gadis bawah 16 tahun boleh berkahwin jika dapat kebenaran ketua menteri atau menteri besar.

Dalam kenyataan itu, Razali juga mengulangi desakan supaya had umur berkahwin ditetapkan pada 18 tahun untuk semua rakyat Malaysia.

“Kami mencadangkan yang kerajaan dan badan agama negeri termasuklah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bertindak aktif memaklumkan orang awam tentang kesan buruk perkahwinan bawah umur,” katanya.

Lelaki 41 tahun yang berkahwin dengan kanak-kanak 11 tahun itu, yang merupakan warganegara Thailand, berkata dia hanya cuba “membantu” keluarga gadis itu yang miskin.

Dia dilaporkan menikah di Thailand tanpa kebenaran isteri pertama dan keduanya. – 1 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen