SUSANNA Liew, isteri Pastor Raymond Koh yang hilang, ingin penjelasan penuh daripada polis mengenai progres kes suaminya, dengan mengatakan beliau masih belum diberi taklimat oleh pihak berkuasa.
Merujuk kepada laporan semalam yang memetik Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar mengenai petunjuk baru mengenai penculikan suaminya, Liew berkata seperti rakyat lain, beliau hanya mengetahui melalui media sahaja.
“Seperti pengumuman sebelumnya yang dibuat oleh KPN kepada media mengenai penculikan suami saya pada 6 April dan 24 Mei, saya tidak diberi taklimat mengenai apa yang dipanggil sebagai perkembangan, petunjuk atau penangkapan oleh polis,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid semalam berkata polis menemui petunjuk baharu bagi kes Koh semasa kes penyeludupan di Kedah pada 17 Jun.
Foto yang dipercayai rumah pastor dan dua kenderaannya, serta plat lesen kenderaan bernombor ST 5515 D ditemui di rumah suspek utama selepas ditembak mati oleh polis semasa operasi di Kampung Weng Dalam minggu lepas.
Polis berkata, bekas isteri suspek ditangkap bersama tiga anggota kumpulan yang disyaki.
Liew berkata pertemuan lalu dengan polis pada 6 Mac dan 23 Mac, kurang bersangkutan dengan perkembangan kes tetapi lebih kepada pemintaan agar beliau tidak terlibat dengan media dan menghadiri vigil serta perhimpunan awam.
“Saya harap polis akan menghubungi saya tidak lama lagi untuk mengaturkan pertemuan dan memberi maklumat terkini tentang kes suami saya. Ia juga mesti mengandungi penjelasan penuh tentang pengumuman yang dibuat pada 6 April dan 24 Mei.”
“Saya juga menggesa pihak polis bekerjasama dengan siasatan yang dijalankan Suhakam dan juga memaklumkan sebarang perkembangan kepada mereka,” katanya.
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari, dan keluarganya masih belum menerima tuntutan tebusan, yang menambah misteri ke atas penculikan itu.
Sikap berdiam diri daripada pihak berkuasa menyebabkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melancarkan siasatan terhadap penculikan yang menimbulkan kebimbangan terhadap kewaspadaan agama.
Selepas menemuramah keluarga dan kawan pastor, Suhakam mengumumkan yang ia akan bertanya kepada pihak polis mengenai kes itu selepas cuti Hari Raya. – 26 Jun, 2017.
Komen