Nilai sejarah Masjid Jamek mungkin terjejas tanpa prosedur teliti


Diyana Ibrahim

Dinamakan semula sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, ia pernah menjadi masjid terbesar dan utama di Kuala Lumpur sehinggalah terbinanya Masjid Negara pada 1965. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Jun, 2017.

DENGAN kedudukannya yang berada di tengah antara Sungai Klang dan Sungai Gombak, boleh dikatakan Masjid Jamek Kuala Lumpur menjadi sebahagian daripada nadi pembangunan ibu kota.

Baru-baru ini dinamakan semula sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, ia menjadi masjid terbesar dan utama di Kuala Lumpur sehinggalah terbinanya Masjid Negara pada 1965.

Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Ab Ghaffar Tambi memberitahu The Malaysian Insight, masjid itu merupakan sebuah bangunan yang disenaraikan dengan Jabatan Warisan Negara dan sedang menjalani kerja pengubahsuaian.

Ia sebahagian di antara projek River of Life (ROL) atau Sungai Nadi Kehidupan bernilai RM4 bilion yang dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak pada 2011, bertujuan mengubah wajah sungai Lembah Klang.

Menerusi  projek ROL, Sungai Klang dan Gombak bukan saja akan dibersihkan dan diindahkan malah bakal dijadikan sebagai salah satu pusat rekreasi di tepi sungai.

Ia melibatkan 11 presint termasuk Masjid Jamek yang akan dinaiktaraf sepanjang 10.7 kilometer di Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Tumpuan pelancong

The Malaysian Insight difahamkan pelaksanaan projek ROL turut menyaksikan Masjid Jamek yang berada di tengah iatu Presint 7 akan dinaiktaraf sebagai “masjid pelancongan”. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mhd Amin Nordin Abd Aziz menegaskan tidak timbul isu penukaran status masjid tertua di Kuala Lumpur itu.

“Masjid Jamek ini sejak daripada dulu memang terkenal di kalangan pelancong dan pengubahsuaian serta kerja landskap memang sedang dilaksanakan.”

Pengubahsuaian yang dilakukan DBKL antaranya membina taman berkonsepkan senibina Islam selain mempunyai pancuran air dan kolam.

Ia melibatkan banyak pihak bagi memastikan program ROL berjaya seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kerja pemulihan dan pengubahsuaian melibatkan dua peringkat; fasa pertama membabitkan binaan dalaman dan luar masjid dan fasa kedua membabitkan binaan kerja landskap.

Menurut imam Masjid Jamek, Ahmad Nizzam Razali berkata kerja pengubahsuaian bermula pada 2014.

Menceritakan sejarah awal penubuhan bangunan warisan negara itu, Nizzam berkata masjid itu mendapat sentuhan seorang pembantu arkitek British, A. B Hubback yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

“Masjid Jamek siap dibina pada 1909 dan dirasmikan Sultan Alauddin Sultan Sulaiman Shah pada tahun yang sama.”

Tambah Nizzam yang menjadi imam sejak tiga tahun lalu dan berkata, keunikan bangunan itu sendiri ialah terletak pada seni bina rekaan yang mempunyai pengaruh Moghul Utara India.

“Rekaan seni binanya diadaptasi dari Moghul Utara India dan kalau kita lihat, ciri yang sama juga boleh dilihat pada bangunan Sultan Abdul Samad.

“Dan ada juga satu masjid yang sama dengan rekaan bentuk Masjid Jamek iaitu Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Perak.”

Memandangkan masjid itu tidak mempunyai kariah sendiri, Nizzam berkata “pengunjung” masjid itu hanya bergantung kepada jemaah yang bekerja di sekitar kawasan ibu kota untuk bersembahyang.

“Kalau jemaah pula, masjid ini mampu menampung sehingga 7,000 jemaah pada satu masa semasa  sembahyang Jumaat. Dari segi kedatangan pelancong pula dianggarkan mencecah 7,000 pengunjung dalam sebulan.”

Selain itu, kerja pengubahsuaiannya menyaksikan beberapa penemuan artifak seperti lebih 45 batu nisan dipercayai berusia lebih 200 tahun.

Beliau turut menunjukkan tangga besar di situ yang ditemukan semula sewaktu tambak konkrit dipecahkan bagi kerja pengubahsuaian.

Imam berkata, dahulunya anak tangga Masjid Jamek dibina di tebing sungai bagi memudahkan  umat Islam mengambil air sembahyang.

Pemuliharaan struktur asal

Bagi pakar warisan sejarah Abdur-Razzaq Lubis yang juga penulis buku “Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur 1800-1908” berkata, penemuan batu nisan itu tidak mengejutkan kerana kawasan itu asalnya juga mempunyai tapak perkuburan.

Penulis yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lubis menyatakan kebimbangan kerja pengubahsuaian bakal menjejaskan struktur bangunan bersejarah itu.

“Kita percaya masyarakat awal yang tinggal di Kuala Lumpur ini ialah dari Sumatera seperti Mandailing, Rawa ada juga Bugis dan Jawa.

“Ketika dimaklumkan mengenai penemuan kubur tersebut saya sudah menyatakan pendirian meminta pihak berwajib menangguhkan dulu kerja pengubahsuaian.”

Ini kerana kerja pemuliharaan bangunan warisan sepatutnya memerlukan prosedur lebih teliti dengan pakar yang akan sentiasa memantau di tapak lapangan sepanjang kerja pembaikan.

“Bunyinya memang enak tapi adakah pemuliharaan ini berlandaskan peraturan sepatutnya? Kalau tempat perkuburan mereka tidak hormati, ini kan pula bangunan?” soal beliau.

Beliau dengan nada kesal berkata kerajaan dilihat mengambil mudah dalam hal melindungi bangunan warisan di negara ini.

Katanya, tindakan ingin menukar nama Masjid Jamek Kuala Lumpur seperti satu cubaan melenyapkan sejarah.

“Inilah masalahnya apabila kita sebut mengenai warisan, mereka ingat bangunan warisan itu cuma terdapat di Pulau Pinang dan Melaka.

“Secara jujurnya saya amat kesal dengan perkara ini malah walaupun kita ada badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan bagi tujuan tersebut namun ia seolah-olah tiada taring.”

Nasib gelandangan

Dengan perancangan menaiktaraf sebagai “masjid pelancongan”, ia turut membangkitkan persoalan tentang nasib golongan gelandangan.

Masjid Jamek juga terkenal sebagai masjid gelandangan hinggakan terdapat pelbagai program bagi komuniti tersebut.

Antaranya ialah program “Menyantuni Komuniti Yang Disayangi” yang diadakan pada setiap Ahad.

Nizzam berkata, program tersebut turut dibantu NGO di mana pihak masjid tidak hanya menyediakan makanan namun mengadakan sesi nasihat atau tarbiyah dengan gelandangan.

“Jumlah gelandangan agak ramai kalau bukan di bulan puasa, ia kurang daripada 300.

“Namun apabila bulan puasa ini, ia bertambah berdasarkan jumlah makananan yang diberi setiap hari yang mencecah 300 bungkus.”

Ditanya mengenai perkara itu, datuk bandar Kuala Lumpur juga menyatakan tidak pasti adakah mereka terlibat dengan pembersihan gelandangan di Masjid Jamek.

“Itu saya tidak pasti dan memang jadi satu masalah untuk kita sebab mereka ini terlalu ramai.

“Kalau DBKL pindahkan mereka, kami tidak ada tempat. Itu perlu ditanya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.” – 26 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen