Dalam Bahagian II wawancara The Malaysian Insight bersama Ani Zonneveld, imam wanita ini bercakap tentang apa yang diperlukan untuk mengubah imej Islam yang semakin negatif
KETIKA umat Islam seluruh dunia mengakhiri Ramadan yang dicemari serangan menakutkan dan aktiviti militan, seorang imam wanita Malaysia menganjurkan Islam yang lebih berwibawa, adil dan benar.
Ani Zonneveld, dilahirkan sebagai Zuraini Abdul Khalid, seorang daripada imam wanita dalam dunia Islam, berkata imej Islam yang semakin negatif itu disebabkan sikap prejudis terhadap wanita, homoseksual, dan perkauman di kalangan umat Islam.
Apa yang menjadikannya lebih buruk ialah penyebaran radikalisme di kalangan umat Islam yang mewujudkan sikap supremasi terhadap penganut bukan Islam, kata Ani, yang menjadi tajuk berita baru-baru ini semasa pembukaan Masjid Ibn Rushd-Goethe di Berlin, Jerman.
Ideologi radikalisme yang merebak di kalangan umat Islam menyebabkan mereka memberi justifikasi terhadap tindakan membunuh orang lain yang tidak bersetuju dengan mereka, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Untuk mengubah ‘imej’ Islam, kita perlu hidup dengan nilai Islam. Ia bermula dengan setiap orang Islam itu sendiri – kasih sayang, ihsan, berbuat baik dan belas kasihan kepada semua orang,” kata Ani, yang kini berpusat di Amerika Serikat.
Ani berkongsi pandangannya dengan The Malaysian Insight di mana beliau juga bercakap tentang usaha yang dilakukannya dalam Muslims for Progressive Values (MPV).
Aktivis MPV ini membantu banyak masjid di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Afrika Selatan bagi menyediakan interpretasi alternatif Islam daripada apa yang diamalkan majoriti secara konvensional.
Masjid Ibn Rushd-Goethe dibuka semasa Ramadan yang menyaksikan beberapa serangan keganasan yang melibatkan orang Islam di UK, Indonesia, Mesir, Afghanistan, Iraq dan Iran.
Tentera Filipina turut bertempur selama empat minggu menyerang militan yang mengambil alih sebuah bandar di bahagian Selatan negara itu pada permulaan bulan.
Semalam, seorang pengebom berani mati yang mensasarkan masjid paling suci di Mekah, Arab Saudi, meletupkan diri dan mencederakan enam yang lain.
Berikut adalah petikan wawancara beliau:
S: Apa kegiatan anda di Jerman sebelum aktif menjadi presiden MPV dan terlibat dengan Masjid Ibn Rushd-Goethe? Apa yang membuatkan anda terlibat?
J: Saya bukanlah sebahagian daripada Masjid Ibn Rushd-Goethe. Disebabkan saya mengetuai komuniti di AS sejak lebih 11 tahun, mereka mengundang saya untuk melaungkan azan. Saya lakukannya bagi menunjukkan solidariti dalam pergerakan progresif kolektif global.
S: Apa peranan anda dalam masjid selain menjadi iman dan bilal?
J: Selama 10 tahun, akar umbi yang bertapak di AS, MPV menyediakan khidmat untuk keperluan masyarakat seperti memberi ruang pembelajaran agama untuk pelbagai jenis orang Islam di mana martabat mereka dihormati; mempromosikan pemikiran kritikal melalui forum, bengkel pendidikan, seni dan muzik; dan kami menyediakan perkhidmatan perkahwinan termasuk orang Islam yang mempunyai pasangan bukan Islam.
Misi kami ialah: MPV adalah organisasi berasaskan keimanan, akar umbi, organisasi hak asasi manusia antarabangsa yang merangkumi perjuangan untuk semua pada abad ke-21.
Sebagai pembela keadilan sosial dan presiden MPV, saya mahukan keadilan bagi hukuman kepada belia, perkahwinan di kalangan/kahwin paksa, hak reproduksi wanita dan LGBT di AS.
Dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), MPV adalah anggota rasmi bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Taraf perundingan MPV membolehkan advokasi kami pergi ke peringkat global dengan mencabar pelanggaran hak asasi manusia atas nama undang-undang syariah bagi negara majoriti Islam dalam PBB dan Majlis Hak Asasi Manusia.
S: Berapa ramai komuniti MPV seluruh dunia.
J: MPV punyai lebih 10,000 ahli dan jumlahnya berkembang pesat. Di AS kami aktif di 7 bandar iaitu Los Angeles, DC, Atlanta, New York, Chicago, Columbus dan San Francisco.
S: Apa yang mendorong para pengasas menubuhkan sebuah masjid seperti itu? Menurut laporan, ia berpangkalan dalam komuniti dengan penduduk imigran. Bagaimanakah respons kaum Islam tempatan terhadapnya?
J: Saya hanya bercakap mengenai keadaan di AS. Apa yang penting untuk diketahui adalah hanya 24% orang Islam di AS pergi ke masjid tradisional.
Ramai yang tidak datang ke masjid kerana mereka faham Islam yang Islam itu berpegang kepada prinsip semua manusia sama dan berhak mendapat peluang yang adil.
Justeru, mereka membenci ajaran yang tidak toleran, misoginistik dan homophobik yang mereka dengar di masjid. Masjid inklusif kami terdiri daripada pelbagai orang, imigran, penduduk asal, orang tua muda, dan LGBT.
Kami bersatu atas prinsip Islam dan Tuhan yang penuh kasih sayang dan belas kasihan. Bagaimana respons orang Islam lain tidak penting. Mereka ada masjid mereka, kita ada masjid kita.
Di MPV, kami tidak menjemput media. Sama ada wanita atau lelaki mengimamkan solat, ia bukanlah satu isu.
Orang-orang dalam komuniti kami tidak membezakan jantina dan bersembahyang bersama seperti yang kita lakukan di Mekah, tiada disegregasi, ia bukti kita “ummah” – persaudaranan sama ada lelaki atau perempuan. Lagipun, jika anda berfikir tentang gender semasa saudara anda bersembahyang, maka anda tidak mempunyai semangat “ummah” sebenar.
S: Apakah topik yang anda sentuh dalam khutbah anda? Adakah ia dalam bahasa Jerman atau Inggeris?
J: Khutbah di masjid di Jerman akan dilakukan di bahasa Jerman, manakala di AS dalam bahasa Inggeris. Bagi ruang agama MPV, kami membahas topik mengenai persekitaran, hak asasi manusia, tentang kebaikan walaupun kepada haiwan, menyumbang kepada masyarakat terutama sebagai umat Islam istimewa.
S: Pada zaman di mana Jerman sendiri adalah sasaran militan, apakah peranan Masjid Ibnu Rushd-Goethe?
J: Terdapat banyak masjid inklusif termasuk di seluruh dunia - AS, Kanada, UK, Belanda, Jerman, Perancis, dan Afrika Selatan. Saya memulakan satu pada Januari 2006. Tiada yang bercanggah dengan Islam mengenai masjid ini.
Al-Quran mempromosikan penyertaan ahli masyarakat kepada semua orang, tiada diskriminasi, imam wanita pertama dilantik oleh Nabi Muhammad sendiri, guru Islam pertama adalah wanita, dan kita berdoa bersama-sama mengikut “cara Mekah” seperti yang kita lakukan semasa haji. Apa masalahnya?
(Arab Saudi sedang mengubah cara bersembahyang bercampur yang berabad lamanya dan mengasingkan jantina kerana mereka melihat wanita sebagai objek seks).
Islam adalah agama paling egalitarian. Mungkin masjid tradisional kita perlu berubah kepada sesuatu yang lebih tepat kepada semangat Islam.
Radikalisme menggalakkan ideologi yang menjadi supremacist. Itulah sebabnya mereka membunuh semua yang tidak bersetuju dengan ideologi mereka. Di Malaysia, kerajaan tidak membunuh anda, tetapi mereka akan mengancam anda. Saya bercakap daripada pengalaman.
Dasar masjid kami adalah pemikiran kritikal. Ini adalah ancaman kepada keselamatan negara, dan itulah sebabnya kerajaan Malaysia mengisytiharkan umat Islam progresif dan liberal “sebagai berbahaya seperti Isis (Islamic State).
S: Bagaimanakah masjid seperti di Berlin berperanan membantu memperbaiki imej umat dan agama Islam yang semakin negatif di seluruh dunia?
J: Tidak kira di mana anda berada, umat dan agama Islam mempunyai reputasi buruk kerana sikap misoginistik, homophobik, dan perkauman dan ajaran kita.
Tiada kempen perhubungan awam akan dapat menggembalikan rasa hormat terhadap Islam. Untuk menukar “imej” Islam, kita perlu menjalani kehidupan seharian dengan nilai Islam. Itu bermula dengan setiap umat Islam itu secara individu - kasih sayang, belas kasihan, berbuat baik dan ihsan kepada semua orang. – 26 Jun, 2017.
Komen