Unit propaganda Najib Razak bubar


The Malaysian Insight

Pasukan Komunikasi Negara dan Brandworth Corporation, dua unit propaganda pentadbiran Najib Razak, adalah antara agensi kerajaan yang dibubarkan dalam rombakan menyeluruh ke atas Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2018.

PASUKAN Komunikasi Negara dan Brandworth Corporation, dua unit propaganda pentadbiran Najib Razak, adalah antara agensi kerajaan yang dibubarkan dalam rombakan menyeluruh ke atas Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa semalam.

Pembubaran itu adalah sebahagian daripada cadangan rasionalisasi JPM yang akan diumumkan oleh Putrajaya, sempena pelantikan Jemaah Menteri penuh barisan kabinet Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Cadangan rasionalisasi itu dipersetujui oleh ketua setiausaha negara melalui sepucuk surat balasannya kepada JPM minggu lalu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Pasukan Komunikasi Negara atau NCT aktif mengeluarkan beberapa kenyataan media bagi pihak bekas perdana menteri itu ketika kemuncak pembongkaran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Unit komunikasi strategik itu pernah diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan New Straits Times (NSTP), Abdul Jalil Hamid.

Brandworth Corporation atau dikenali juga bahagian penjenamaan negara pernah diterajui Ahmad Farid Ridzuan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televiyen Media Prima Berhad.

Farid menyertai pasukan media Najib pada 2010, sebelum pilihan raya umum ke-13 dan menyambung khidmatnya sehingga pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Agensi-agensi lain yang dibubarkan termasuk Agensi Inovasi Malaysia, Institut Wasatiyyah Malaysia serta Institut Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERI).

Turut dibubarkan ialah semua pejabat penasihat kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan pejabat Duta Khas, yang sebelum ini dilantik dalam kalangan bekas menteri kabinet.

Semasa mula jadi Perdana Menteri pada April 2009, Najib melantik beberapa bekas menteri kabinet sebagai penasihat atau duta bertaraf menteri. Mereka ini termasuk antara yang kalah dalam pilihan raya umum ke-13 atau yang digugurkan dari kabinetnya, seperti Shahrizat Abdul Jalil, Samy Vellu, Ong Ka Ting dan Rais Yatim.

Sesetengah pejabat, jabatan dan agensi ini sudah tidak lagi berfungsi sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya daripada BN.

Pembubaran ini juga adalan lanjutan keputusan awal yang diumumkan Dr Mahathir selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama di Putrajaya pada 23 Mei lepas.

Dalam keputusan awal itu, Jemaah Menteri bersetuju membubarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Sementara itu, 26 jabatan atau agensi dikekalkan di bawah JPM, termasuk empat agensi yang ditempatkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) iaitu Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN), Institut Integriti Malaysia, Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Sejumlah 40 jabatan dan agensi pula dipindah fungsi ke kementerian lain. Antaranya, 1Malaysia For Youth yang akan dijenama semula dan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, serta stesen televisyen Al-Hijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) yang dipindahkan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Program Permata yang dulu diterajui isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor, yang mencetuskan kontroversi kerana mendapat peruntukan besar dalam belanjawan tahunan Putrajaya, dipindahkan dari JPM ke Kementerian Pendidikan.

Semua agensi yang mengendalikan pembangunan wilayah dipindahkan ke Kementerian Kewangan manakala agensi yang terlibat dalam pembangunan ekonomi Bumiputera seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) ditempat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. – 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen