Buka jalan dunia berbeza untuk anak Chow Kit


Diyana Ibrahim

Kanak-kanak yang membesar di Chow Kit diberikan peluang pendidikan yang lebih luas dengan aktiviti Buku Jalanan Chow Kit yang mengadakan kelas setiap malam Ahad untuk 50 hingga 70 kanak-kanak di situ. – Gambar Twitter Buku Jalanan Chow Kit, 25 Jun, 2017.

MEREKA selalu digelar sebagai kutu rayau, remaja bermasalah yang ibu bapanya gelandangan atau terlibat dengan pelacuran perjudian dan penagihan dadah.

Mereka ialah kanak-kanak jalanan Chow Kit, yang menjadikan lorong dan jalan di sub daerah yang berada di tengah-tengah bandarraya Kuala Lumpur ini sebagai tempat permainan.

Hakikatnya ia adalah persepsi salah yang selalu dilabelkan masyarakat terhadap kanak- kanak Chow Kit ini.

Tampil memperbetulkan persepsi demikian ialah seorang sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Nur Hanun Muhhamad, 26 yang berkata yang kebanyakkan anak- anak Chow Kit ini datangnya daripada keluarga miskin kota.

Manakala ibu bapa anak- anak Chow Kit ini bekerja dengan pendapatan sekitar RM1000 hingga RM 1500 dan menyewa bilik dengan harga RM25 sehari.

“Mereka bukan gelandangan, bukan anak luar nikah, ibu bapa mereka menyewa bilik yang dibayar setiap hari sebanyak RM25.

“Jika kata mereka adalah gelandangan adalah tidak benar sama sekali. Kerana mereka ini ada rumah walau hanya bilik sewa dan anak-anak Chow Kit ini juga bersekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hanun berkata persepsi negatif ini timbul mungkin kerana kumpulan remaja tersebut dilihat lebih gemar menghabiskan masa di jalanan.

“Tapi yang pastinya anak- anak Chow Kit ini sudah terbiasa dengan rutin mereka duduk melepak di jalanan.

“Macam kita juga yang banyak melepak di mamak namun bezanya mereka di jalan atau lorong Chow Kit.”

Malah dia turut percaya kediaman yang sempit dengan bilangan ahli keluarga yang ramai menyebabkan anak-anak Chow Kit lebih suka berada di luar.

“Sebab mereka tinggal dalam bilik sewa yang saiznya sangat kecil dan bilangan ahli keluarga pun ramai dalam sekurang-kurangnya ada tujuh orang dalam satu bilik.

“Jadi mungkin mereka rasa tidak selesa dan perlukan ruang.”

Usaha dari lorong belakang

Kerana dilema yang dihadapi oleh anak- anak Chow Kit itu maka tertubuhlah program dikenali sebagai Buku Jalanan Chow Kit bermula sejak Ogos 2014 .

Mulanya Buku Jalanan Chow Kit mahu digerakkan seperti perpustakaan terbuka namun konsep program itu diperluaskan menjadi sebuah kelas tuisyen.

“Pengasas bersama Program Buku Jalanan Chow Kit ialah Siti Rahayu Baharin atau pun disini dipanggil Cikgu Ayu saja.

“Hasrat beliau ialah mengubah kitaran kehidupan kanak- kanak Chow Kit. Cikgu Ayu mahu kanak- kanak Chow Kit ini keluar daripada kepompong mereka,” kata Hanun yang menjadi sukarelawan Buku Jalanan Chow Kit seawal penubuhan NGO itu.

Nur Hanun Muhammad dan Mohd Adli Abu Hanipah, dua sukarelawan yang menggembeleng tenaga, masa dan kemahiran membantu anak jalanan Chow Kit.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Jun, 2017.

Jangan terkejut jika kelas tuisyen Buku Jalanan Chow Kit tidak dibuat dalam bangunan tapi di kaki lima dengan beralaskan tikar di lorong belakang Alka Ria.

Dengan bilangan pelajar sekitar 50 hingga 70 orang diantara usia sekecil lima tahun hingga tingkatan tiga begitulah rutin mereka pada setiap malam Ahad.

Bahkan, kelas Buku Jalanan Chow Kit juga mempunyai tiga pelajar kaum Cina walaupun majoritinya adalah Melayu.

“Yang pelajar Cina itu dua daripadanya adalah adik beradik, ibu bapa mereka amat tegar berjudi, hingga pinjam Ah Long.

“Kemudian ibu bapa mereka telah hilang dan sekarang ini dua adik beradik tersebut dijaga oleh makcik mereka daripada kaum India.”

Meski berdepan dengan masalah keluarga, namun Hanun berkata semangat dua adik beradik itu untuk belajar sangat tinggi.

Turut menjadi pemandangan biasa juga pada setiap kali kelas sesetengah pelajar akan ditemani ibu mereka sebagai tanda sokongan anak mereka belajar di situ.

Katanya, para ibu turut bersama membantu sukarelawan Buku Jalanan Chow Kit antaranya menyusun buku, mengemas dan mengagihkan makanan.

Tidak lancar membaca

Sementara itu seorang lagi sukarelawan Mohd Adli Abu Hanifah, 31, berkata kejayaan kanak-kanak Chow Kit tidak boleh diukur daripada sudut kecemerlangan akademiknya.

Katanya Buku Jalanan Chow Kit tidak menyasarkan pelajar mereka mendapat keputusan cemerlang sebaliknya matlamat program itu mahu kanak-kanak tersebut tamat belajar sehingga menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Ini kerana setengah kalangan kanak- kanak Chow Kit dikatakan tidak boleh membaca dan mengenal huruf dengan lancar.

“Kita akui bahawa rata-rata mereka tidak begitu cerdas, tapi itu bukan matlamat utama kita.

“Bagi kita kalau mereka berjaya habiskan tingkatan lima dari tidak tahu membaca kini sudah lancar itu sudah cukup bagus bagi kami,” katanya yang merupakan seorang guru yang bertugas di sekolah dalam hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

Antara lain, Adli berkata menjadi guru mengajar kepada kanak- kanak Chow Kit tidak mudah kerana menuntut kesabaran disamping perlu menunjukan pengaruh baik.

Perkara tersebut turut diakui Hanun kerana perubahan sikap kanak- kanak Chow Kit yang lebih sopan dan menghormati berbanding sebelum ini.

Kanak- kanak Chow Kit ini juga dikatakan sebenarnya sangat kreatif dan mempunyai bakat dalam seni.

Antara lain Buku Jalanan Chow Kit juga menerima pelajar yang ibu atau bapa mereka ialah imigran.

Buat masa ini, tujuh orang pelajar imigran belajar di Buku Jalanan Kuala Lumpur.

“Bagi kita pendidikan adalah hak semua, dan mereka ini tidak diterima di sekolah kementerian.

“Dan kita cuba untuk menghantar ke sekolah Indonesia antarabangsa sebab ada pihak sanggup menaja tapi pihak sekolah tak nak terima.”

 “Oleh itu kalau tanya apa yang Buku Jalanan Chow Kit perlukan ialah sebuah bangunan sebab rancangan kita untuk buka sekolah.” – 25 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen