ANI Zonneveld imam wanita rakyat Malaysia menyelar tindakan pihak di Malaysia yang mengecamnya selepas dia mengimami solat, sebuah tugas yang ketika ini hanya dilakukan lelaki, menggelarkannya “hina” dan “fitnah”.
Ani, yang dilahirkan sebagai Zuraini Abdul Khalid kini tinggal di Amerika Syarikat.
Dia menyifatkan kritikan yang diterimanya kerana menjadi imam wanita ialah cara “tipikal” orang Islam yang tidak mampu berfikir secara kritikal.
Imam wanita wujud di zaman awal Islam tetapi sejarahnya tidak diketahui kebanyakan orang Islam yang sudah diajar tafsiran misoginistik (membenci wanita) dalam agama, katanya.
Ani menjadi tumpuan baru-baru ini selepas dia melaungkan azan semasa perasmian Masjid Ibn Rushd-Goethe di Berlin. Imam wanita sangat jarang wujud dalam kalangan pengamal agama Islam di seluruh dunia kini.
Akhbar bahasa Melayu, Kosmo menerbitkan berita muka depan mengkritik dan mengenalpastinya sebagai anak perempuan seorang Tan Sri yang merupakan bekas ahli politik.
Dalam satu temubual mendalam dengan The Malaysian Insight, Ani, pengasas dan presiden Muslims for Progressive Values (MPV), berkongsi bagaimana dia mula terlibat dalam pergerakan itu.
Dia juga berkongsi pengalaman hidupnya daripada seorang penggubah lagu menjadi seorang imam dan pemimpin komuniti.
Sebelum dia mengasaskan MPV, Ani menggubah lagu untuk beberapa orang artis terkenal seperti Siti Nurhaliza dan Ziana Zain. Lagu gubahannya meraih beberapa anugerah tempatan dan antarabangsa.
Katanya, kembara rohaninya bermula pada usia muda apabila dia merasakan ada kesilapan dalam amalan Islam yang digunakan sekarang.
Ironinya apabila di Amerika Syarikat-negara yang digelar “Setan Besar” oleh kelompok ultra-konservatif- dia menemui tafsiran Islam yang menekankan kesaksamaan, rasionaliti dan keadilan.
Berikut adalah temubual penuh bersama The Malaysian Insight;
S) Boleh anda kongsikan bagaimana boleh menetap di Berlin? Apa yang membuatkan anda berhijrah ke luar negara. Adakah anda sudah berkahwin?
J) Saya tinggal di AS sejak 1981. Saya merupakan graduan dalam jurusan Ekonomi dan Sains dan memilih bekerja dalam industri muzik. Saya tidak mahu jawab soalan berkaitan peribadi kerana ia akan membahayakan keluarga saya.
S) Bagaimana kehidupan anda di Malaysia sebelum ke Jerman? Ada laporan mengatakan anda menjadi komposer?
J) : Saya dilahirkan di Malaysia tetapi ke luar negara lebih 16 tahun seperti Jerman, Mesir dan India. Sewaktu berumur 17 tahun saya pulang ke Malaysia sebelum sambung belajar di AS. Di Malaysia, saya pernah jadi penari di bawah kementerian kebudayaan dan ahli kelab Asia Beat. Saya mula sertai industri muzik selepas menulis dan bekerjasama dengan ramai artis terkemuka seperti Ziana Zain, Ramlah Ram, Siti Nurhaliza, Fara, Kori, Ella dan ramai lagi.
Saya telah menulis lebih 25 tahun dengan 60 lagu dan lagu menerima anugerah Grammy melalui artis Keb ‘Mo’ selain anugerah AIM.
S) Bagaimana anda boleh terlibat dalam masjid Ibn Rushd-Goethe?
J) Saya bukanlah sebahagian masjid tersebut. Kerana saya telah memimpin komuniti Islam di AS selama 11 tahun, maka saya diundang untuk melaungkan azan. Saya sertai kerana solidariti dalam global kolektif dan gerakan progresif.
S) Apa yang menjadikan anda bertukar dari komposer kepada imam wanita dan menjadi pemimpin agama? Apa yang membuatkan anda mencari Tuhan atau apakah hidayah yang diperolehi anda?
J) Kehidupan dalam industri hiburan biarlah saya simpan secara peribadi. Terdapat terlalu banyak prasangka mengenainya. Selepas tragedi 9-11 saya memutuskan bahawa saya perlu “keluar dari kepompong” sebagai seorang Muslim tetapi saya perlu bersedia untuk soalan yang sukar.
Sebelum mempelajari Islam saya mempunyai niat jika saya meninggalkan Islam maka adakah ia akan menjadikan saya lebih dekat dengan Islam. Apa yang saya dapati ialah Al-Quran tidak menimbulkan kemarahan dan bersifat bebas. Saya tidak dapat menerima banyak amalan budaya yang tidak ada hubungannya dengan Islam.
Saya tidak menganggap saya pemimpin agama, tetapi hanya pemimpin komuniti di dalam gerakan muslim progresif. Bukan kehendak utama saya menjadi imam tetapi sebagai pemimpin komuniti, kamu perlu memenuhi keperluan mereka dan kerana itu saya dipilih daripada komuniti saya.
S) Adakah kamu seorang yang warak ketika menjadi komposer? Dan kenapa kamu memilih amalan Islam yang berbeza daripada konservatif?
J) Saya tidak suka perkataan ‘warak’ kerana lebih warak seseorang maka mereka akan lebih bongkak memainkan peranan jadi Tuhan dan menghukum. Tidak, saya tidak warak tetapi akan sentiasa berada di jalan Tuhan, dalam pelbagai cara termasuk menulis lagu.
Malah pada usia muda saya tahu bahawa amalan Islam seperti yang kita ketahui tidak betul, kerana ia mengutamakan lelaki berbanding wanita. Hidup di Amerika anda mempunyai akses kepada banyak tulisan ilmiah mengenai Islam dari banyak perspektif. Kebanyakan buku ini tidak terdapat di negara Islam yang lain. Jadi, sekiranya Allah adalah adil, maka mengapa kita diajar penindasan dalam tafsiran Islam? Jika Al-Quran menetapkan orang Islam untuk berfikir, maka mengapa kita diajar untuk tidak mempersoalkan?
S) Adakah anda takut diancam kerana menjadi muslim liberal? Adakah anda menerima sebarang ancaman?
J) Saya tidak ada perasaan takut. Alhamdulillah. Umat Islam yang sering berlaku zalim. Sikap mereka seperti kaum Quraish. Ancaman saya pernah terima dan ancaman tersebut daripada anak muda yang telah dikawal pihak penguasa.
Islam diwaktu dahulu, mereka bebas dan boleh berdebat secara sihat, Nabi Muhamad yang sering dicabar tidak pernah mengancam bunuh pada mereka murtad ataupun meninggalkan Islam.
S) Apa pandangan anda mengenai kritikan sesetengah konservatif Islam di Malaysia? Adakah ia akan mengganggu urusan kerja anda?
J) Kosmo adalah saluran media tidak berakal atau tidak bermoral, dan mereka hanya memenuhi kehendak pembaca yang seumpamanya. Bukan sahaja mempunyai fakta yang salah tetapi menyeret nama bapa saya ke dalamnya adalah satu penghinaan
Artikel mengenai saya di Kosmo adalah sikap tipikal masyarakat muslim. Jika anda tidak setuju, anda menfitnah seseorang itu. Itu adalah berita palsu.
Di dalam Quran sudah jelas, memfitnah lebih teruk daripada pembunuhan. Setakat yang saya bimbangkan, ramai umat Islam di Malaysia dan di dunia tidak berfikiran kritikal. Mereka hanya mengikuti apa yang dikatakan imam tanpa mempersoalkan, yang dikehendaki oleh Al-Quran yang kita buat.
Ia merupakan satu bencana, dan ia mempunyai kaitan dengan ajaran palsu Islam selama berabad-abad, yang kita tidak persoalkan. Dan, pemikir kritis di dunia Islam menggunakan hadis palsu bertentangan dengan Al-Quran.
Umat Islam tidak mengikuti al-Quran, mereka mengikuti hadith buatan manusia. Saya tidak akan menghalangnya kerana kerja yang kita lakukan menyelamatkan nyawa dan memperkasakan orang.
S) Adakah anda akan pulang ke Malaysia. Bagaimana sambutan Hari Raya anda di luar negara?
J) : Ya, semua keluarga dan rakan saya berada di Malaysia. Raya di sini sederhana. Kami sembahyang raya di waktu pagi dan berkumpul bersama rakan pada hari sama. – 25 Jun, 2017.
Komen