PAKATAN Harapan (PH) mahu sistem pendidikan lebih baik serta tidak dipolitikkan, perang terhadap rasuah lebih agresif dan memberi ruang kepada rakyat mempengaruhi bagaimana ahli politik membelanjakan wang awam.
Ini antara perubahan bakal dilaksanakan serta merta sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pemimpin kanan PH Nurul Izzah Anwar berkata persiapan untuk memastikan perubahan terhadap undang-undang bagi merealisasikan perkara di atas terlaksana sudah pun disediakan.
Naib presiden PKR itu berkata ini termasuk undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Pembangunan Petroleum.
Akta Pembangunan Petroleum memberikan kuasa penuh kepada perdana menteri untuk membelanjakan hasil petroleum Malaysia.
Beliau yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata inspirasi untuk melakukan reformasi datang daripada bekas presiden Indonesia, BJ Habibie selepas mengambil alih kuasa daripada diktator Suharto pada 1998.
“Kalau kita lihat Habibie, hari-hari pertama beliau pegang jawatan selaku presiden, beliau sudah memastikan tiang-tiang undang-undang atau ‘the legal reform blueprint is implemented’.
“Kita perlukan pengasingan kuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang bebas, pihak kehakiman yang mampu saja melakukan tugas dengan profesional dan baik.
“Dan juga pihak polis yang harus berlaku adil dan profesional. Kita perlu memastikan perdana menteri tidak memegang jawatan menteri kewangan,” kata Nurul Izzah dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata reformasi undang-undang harus bermula dan diperbaiki di Parlimen dan ia menjadi keutamaan yang akan dilakukan PH.
“Saya sudah mulakan proses beberapa rang undang-undang yang saya fikirkan amat penting untuk mewujudkan sesuatu sistem yang robust.
“Yang juga utuh dan juga menjadi keutamaan. Di samping menyelamatkan sistem pendidikan Malaysia,” katanya.
Parti dalam PH seperti PKR, DAP, Amanah dan Bersatu sedang dalam perbincangan peringkat akhir untuk menyiapkan manifesto mereka yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Menjelang PRU13, pendahulu PH, Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan Buku Jingga sebagai polisi bersama untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
Pemimpin PR mendakwa Buku Jingga merupakan sebab mengapa mereka berjaya mendapat undi popular sebanyak 52% pada PRU13.
Mereka turut menuduh Barisan Nasional (BN) meniru idea mereka seperti cadangan untuk menurunkan harga kereta.
Memastikan sistem pendidikan tidak dipolitikkan
Mengubah sistem pendidikan merupakan sesuatu yang dekat di hati Nurul Izzah dan beliau sudah banyak menulis mengenai perkara ini.
“Bekas ahli ekonomi Bank Dunia Frederico Gil Sander yang bertanggungjawab terhadap Malaysia pernah mengatakan penurunan standard pendidikan kita lebih membimbangkan daripada masalah hutang isi rumah,” katanya.
Beliau berkata cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan meletakkan semula golongan profesional dan pentadbir bertanggungjawab dalam sistem pendidikan kita bermula daripada merancang dan melaksanakan polisi untuk mentadbir sekolah dan universiti.
“Sistem pendidikan tidak seharusnya diuruskan ahli politik,” katanya walaupun mengakui di negara maju terdapat juga lantikan politik mengetuai kementerian pendidikan.
Nurul Izzah berkata di Malaysia, idea mengenai lantikan politik sudah diangkat ke peringkat yang lebih ekstrem menyebabkan setiap kali menteri pendidikan berubah, polisi pendidikan akan turut ditukar.
Katanya, berbeza dengan negara maju seperti Finland, lantikan politik akan tetap meneruskan strategi yang sudah dilaksanakan selama berdekad lamanya.
Beliau memberikan contoh dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan secara terburu-buru.
Polisi itu dimulakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2003 dan dihentikan pada 2009 selepas Najib mengambil alih kuasa. Sebanyak RM3.2 bilion sudah dibelanjakan untuk mempersiapkan sekolah dan guru untuk melaksanakan PPSMI.
“Markah kita dalam PISA jatuh selepas 2003 sejak PPSMI dilaksanakan,” katanya merujuk kepada Program Penilaian Pelajar Antarabangsa yang menguji pencapaian akademik murid di 59 negara.
“Sistem pendidikan kita sudah menyebabkan satu generasi di Malaysia tertinggal di belakang Vietnam,” merujuk kepada bagaimana murid di Vietnam mendapat markah lebih tinggi berbanding Malaysia semasa ranking PISA 2012.
Di bawah pentadbiran PH, kualiti dan jurang kebudayaan di antara sekolah kebangsaan dan vernakular akan cuba kembali dirapatkan dengan memastikan mereka berinteraksi dengan lebih banyak.
“Kita harus ingat Malaysia negara yang mana rakyatnya terpisah-pisah. Pecah dan perintah bermula sejak zaman penjajahan kolonial dan diteruskan kerajaan pemerintah.
“Jadi kita harus fokus kepada memupuk perpaduan. Bagi yang sudah ke SJKC dan SJKT kita harus mencari jalan membawa semua orang untuk bersama di semua peringkat.
“Punca mengapa ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan ialah kualiti.
“Mengapa semakin ramai ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah Cina berbanding ibu bapa Cina menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Isunya ialah kualiti,” katanya. – 28 Jun, 2017.
Komen