SEMAKIN banyak pembangunan bangunan tinggi akan dibina di kawasan rizab Melayu yang terakhir di Kuala Lumpur, tetapi tidak semua gembira dengan perkembangan itu.
Malah, penduduk kampung Sungai Penchala berang kerana terpaksa menghadap empat lagi bangunan tinggi tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Penduduk Sungai Penchala Shohaimy Saad berkata projek itu akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas, menyebabkan masalah pembetungan dan meningkatkan kepadatan di kawasan itu.
“Kami tidak kisah jika tinggi bangunan Cuma enam tingkat, tetapi bangunan 37 tingkat akan menjejaskan kejiranan di sini.
“Bagaimana mereka boleh luluskan projek seperti itu di kawasan rizab Melayu?,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shohaimy menunjukkan surat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memberitahu kelulusan pembinaan flat 37 tingkat, tadika di atas tempat letak kenderaan tujuh tingkat, flat Program Perumahan Rakyat setinggi 22 tingkat dan 23 tingkat.
Beliau mendakwa DBKL tidak memberitahu penduduk kampung bila mereka meluluskan projek berkenaan.
“Sekarang, bekalan elektrik kami dipotong, kekurangan bekalan air dan terpaksa keluar duit sendiri untuk bina sistem pembetungan. Kenapa mereka tidak perbaiki masalah ini dulu sebelum membina projek baharu,” katanya.

DBKL memberitahu The Malaysian Insight mereka meluluskan semua projek pembangunan itu selepas meneliti Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan.
“Projek yang mereka (persatuan penduduk) cakap ialah di tanah swasta kan? Ia perlu melepasi Peraturan 5,” kata Pegawai Komunikasi Korporat DBKL Hassan Azhari Abu Bakar.
Peraturan 5 ialah peruntukan yang memerlukan datuk bandar Kuala Lumpur memberitahu pemilik berdaftar tanah bersebelahan menerusi iklan di akhbar mengenai pembangunan itu.
Penduduk kemudian akan dibenarkan membantah permohonan pembangunan itu yang membabitkan pertukaran penggunaan tanah, pengezonan atau peningkatan kepadatan di kawasan itu.
Ia sebahagian daripada Pindaan Peraturan Perancangan Pembangunan 1994, undang-undang kecil di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.
Sementara itu, Razib , 47, yang tinggal di kampung Sungai Penchala seumur hidupnya berkata beliau menghadiri beberapa mesyuarat dengan DBKL mengenai projek hampir sama, tetapi DBKL tetap meneruskan pembinaannya walaupun dibantah penduduk kampung.
“Saya tidak faham kerana kami mengadakan beberapa mesyuarat dengan mereka beberapa tahun lalu. Kami mahukan pembangunan infrastruktur kami, bukan bangunan yang akan menambahkan kepadatan,” katanya.
Seorang lagi penduduk kampung, Siti Zahara Nasron, 69, berkata keluarganya tinggal di situ selama beberapa generasi dan berharap DBKL membatalkan kelulusan projek itu.
“Generasi akan datang yang akan mewarisi tanah ini. Dan anak saya akan turut membantah projek ini,” katanya.
Penduduk di Taman Tun Dr Ismail juga membantah pembangunan DBKL di kawasan berhampiran.
Penduduk di situ membantah cadangan pembangunan lapan blok pangsapuri dengan ketinggian antara 42 hingga 54 tingkat, bersebelahan Taman Rimba Kiara.
Persatuan Penduduk TTDI menyerahkan petisyen kepada DBKL untuk membatalkan projek itu kerana pembangunan baharu itu akan meningkatkan kepadatan populasi daripada 74 kepada 979 orang setiap ekar. – 24 Jun, 2017.
_graphic-kampung-penchala-1.jpg)
Komen