AKTIVIS sosial Syed Azmi Abhalshi memperlihatkan erti sebenar semangat Ramadan apabila membawa Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad al-Bakri melawat komuniti di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Syed Azmi, yang sering melakukan kerja amal, berkata lawatan mufti sangat diperlukan oleh Persatuan Kebajikan Masyarakat Ikhlas Malaysia (Ikhlas) di Lorong Haji Taib.
“Lawatan mufti menjadi pembuka mata kepada komuniti di pusat yang sertai bekas banduan, penagih dadah, transgender dan pekerja seks.
“Mereka gembira melihat mufti dan mengalu-alukannya dengan tangan terbuka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Syed Azmi berkata mufti sangat mesra dan meluangkan masa mengenali semua 30 penghuni di sana.
“Dia bertanyakan nama dan dari mana mereka berasal serta ada sesi soal jawab.
“Mufti juga mengadakan tazkirah dan bersolat Zohor dengan mereka,” katanya.
Syed Azmi berkata salah satu isu utama yang ditimbulkan kepada mufti ialah layanan masyarakat terhadap mereka.
“Mereka memohon kepada mufti agar memberitahu para agamawan tidak memandang hina dan jijik kepada mereka.
“Mufti meminta maaf bagi pihak semua orang Islam yang memperlakukan mereka dengan cara itu.
“Saya benar-benar tersentuh dengan respons beliau,” kata Syed Azmi.
Syed Azmi berkata mufti juga menyampaikan sumbangan duit raya pada sesi tersebut.
Syed Azmi mengedarkan 40 kopiah dan kain pelikat untuk lelaki, dan telekung untuk wanita. Kesemua barangan itu adalah derma daripada insan yang prihatin, katanya.
“Orang ramai mempunyai persepsi buruk terhadap mereka ini. Saya berharap lawatan mufti akan mewujudkan kesedaran awam yang lebih baik.”
Ikhlas adalah pusat sokongan bagi mereka yang penagih dadah, HIV dan Aids. Ia juga menyediakan kumpulan sokongan, pelajaran al-Quran dan kaunselor yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
Untuk pertanyaan, hubungi Ikhlas di 03-40511211. – 23 Jun, 2017.
Komen