MASJID Jamek berusia 108 tahun yang sekian lama menjadi ikon pelancongan negara kini dinamakan semula sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, yang merupakan sebahagian daripada pengindahan Sungai Klang dan Sungai Gombak dalam Projek River of Life (RoL), dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor Hari ini.
“Penamaan semula ini merupakan hasrat daripada Sultan Selangor Sharafudin Idris Shah yang menjadi salah satu inisiatif dalam memelihara khazanah negara yang merupakan salah satu ikon pelancongan di Malaysia,” kata Tengku Adnan.
Nama baru ini diambil bersempena sultan keempat Selangor, Sultan Abdul Samad, yang memerintah sehingga 1898.
Menteri itu berkata pengubahsuaian masjid yang dilakukan kini mampu menampung sehingga 1,000 orang untuk solat.
Masjid Jamek yang asal dibuka Sultan Alaeddin Sulaiman Shah pada 23 Disember 1909, dan sebahagiannya dibiayai masyarakat Melayu dan kerajaan kolonial British. Ia direka oleh Arthur Benison Hubback.
Masjid Jamek menjadi masjid terbesar dan utama di Kuala Lumpur sebelum pembinaan Masjid Negara pada 1965. – 23 Jun, 2017.
Komen